Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: MSN hargai kejayaan atlet Selangor sumbang 46 pingat

SHAH ALAM, 23 MEI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengucapkan tahniah kepada semua atlet negeri yang berjaya menyumbang 46 pingat keseluruhan ketika mewakili negara dalam Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Mohamad Nizam Marjugi berkata pencapaian berkenaan boleh diperbaiki pada temasya akan datang sekali gus merealisasikan sasaran pingat yang ditetapkan.

“Sebanyak enam emas, 16 perak dan 24 gangsa telah disumbangkan oleh atlet-atlet dari Selangor.

“Kita juga berbangga kerana hampir kesemua atlet yang menyumbangkan pingat tersebut terdiri daripada bakat-bakat muda yang masih boleh beraksi pada edisi akan datang.

“Kita berharap mereka terus berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh untuk terus terpilih menggalas tugasan mewakili negara,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Barisan atlet dari Malaysia berarak masuk pada acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada 17 Mei 2023. Foto Facebook BERNAMA

Enam emas kontinjen negara disumbang Saiful Bahri Musmin (petanque), R Sharmendran dan C Shahmalarani (karate), Ng Jing Xuen (golf) serta enam pemain daripada skuad hoki padang.

Mohamad Nizam berkata pihaknya juga berbangga dengan pencapaian Sharmendran yang berjaya mempertahankan emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara kumite lelaki 75 kilogram (kg).

Malaysia sekadar menduduki tempat ketujuh keseluruhan di Kemboja dengan kutipan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Pencapaian itu menyaksikan kontinjen negara gagal memenuhi sasaran 40 emas, keputusan terburuk dalam sejarah penyertaan kejohanan dwitahunan itu.


Pengarang :