Pemain Badminton berpasukan lelaki negara meraih pingat perak selepas tewas kepada pasukan Indonesia pada perlawanan akhir berpasukan Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Badminton Morodok Techo pada 11 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Raih lagi empat emas, Malaysia di tangga ketujuh

PHNOM PENH, 13 MEI: Kedudukan kontinjen negara dalam carta pungutan pingat agak mencemaskan apabila kekal berada di tempat ketujuh selepas berakhir hari ketujuh temasya Sukan SEA 2023 semalam.

Berbaki lima hari sebelum temasya sukan itu melabuhkan tirai pada Rabu depan (17 Mei), kedudukan itu pastinya membimbangkan kerana kontinjen negara sering berada di kedudukan lima teratas dalam temasya dwitahunan itu.

Malaysia hanya dua kali berada di tempat keenam iaitu pada edisi 1983 di Singapura dan Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Dengan pungutan pingat yang masih perlahan semalam, kem negara sekadar meraih empat pingat emas, sekali gus menyaksikan Malaysia secara keseluruhan mengumpul 28 emas, 36 perak dan 59 gangsa.

Pada saingan semalam, kem taekwondo muncul pasukan terbaik apabila menyumbangkan dua pingat emas menerusi Nur Humaira Abdul Karim dalam acara poomsae individu wanita serta gandingan Nurul Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo bagi kategori poomsae berpasangan campuran.

Dua lagi pingat emas yang diraih Malaysia adalah menerusi atlet wushu Tan Cheong Min dalam acara Taolu wanita (Nandao+Nangun) serta pelumba berbasikal Nur Amirul Fakhruddin Mazuki yang mengungguli acara lebuh raya lepas beramai-ramai elit lelaki.

Pada hari ketujuh ini, Malaysia turut menambah lima pingat perak dan sembilan gangsa.

Selepas tamat saingan hari ini, Vietnam kekal mendahului carta pungutan pingat dengan meraih 71 emas, 68 perak dan 78 gangsa, diikuti Thailand 60-43-67 manakala tuan rumah, Kemboja di tangga ketiga dengan 58-47-63.

Berikut carta pungutan pingat pada temasya Sukan SEA 2023 setakat pukul 11 malam waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia) semalam:

-BERNAMA


Pengarang :