Reaksi atlet Pencak Silat negara Muhammad Izzul Irfan Marzuki meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan atlet Indonesia Kadek Andrey Nova Prayada dalam acara akhir kategori Putra bawah 60-65 kilogram pada Sukan SEA 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar pada 10 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Skuad silat negara sumbang tiga pingat emas

PHNOM PENH, 10 MEI: Kem pencak silat menceriakan kontinjen negara apabila menyumbangkan tiga pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di sini hari ini.

Turun ke gelanggang sebagai pesilat pertama Malaysia dalam aksi final pagi tadi, Norsyakirah Muksin tidak mengecewakan apabila menghadiahkan emas sulung dalam kategori bawah 45 kilogram (kg) Putri selepas menumpaskan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33.

Skuad silat kebangsaan meraih emas kedua menerusi Nor Farah Mazlan setelah lawannya dari Singapura Nadhrah Sahrin dibatalkan penyertaan selepas melanggar peraturan pertandingan ketika pesilat negara kelahiran Sabah itu sedang mendahului 23-16 dalam kategori 45-50kg Putri.

Muhammad Izzul Irfan Marzuki pula berjaya meraih pingat emas ketiga Malaysia setelah menumpaskan wakil dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 dalam kategori 60-65kg Putra.

Dalam pada itu, tiga pesilat Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas kepada lawan masing-masing dalam pertarungan peringkat akhir itu.

Mohd Shahrul Zeckry Sulaiman terpaksa akur dengan kehebatan pesilat Indonesia Iqbal Candra Pratama apabila tumpas 9-53 bagi kategori 70-75kg Putra.

Sementara, Siti Shazwana Ajak tumpas kepada Atifa Fismawati dari Indonesia 35-38 dalam kategori 60-65kg Putri.

Muhammad Robial Sobri yang turun ke gelanggang dalam acara terakhir pencak silat yang melabuhkan tirai hari ini, gagal menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia apabila tumpas di pertarungan final.

Pesilat senior negara itu tewas 11-42 kepada wakil Singapura Sheik Farhan Sheik Alau’ddin bagi kategori 85-90kg Putra.

Ketika ditemui pemberita, Jurulatih Skuad Silat Kebangsaan Siti Rahmah Mohamed Nasir berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pesilat negara termasuk mereka yang kali pertama menyertai temasya dwitahunan itu.

“Kesemua mereka sama ada yang baharu atau senior memberikan sepenuh komitmen. Mereka memberikan lebih 100 peratus dan saya bangga dengan usaha keras mereka,” katanya bahawa beberapa aspek akan diteliti sekembalinya ke tanah air dalam usaha memantapkan prestasi pesilat negara.

Bekas jaguh silat negara itu percaya majoriti barisan pesilat baharu yang diketengahkan pada temasya kali ini berpotensi meraih kejayaan di persada antarabangsa pada kejohanan akan datang.

— BERNAMA

 


Pengarang :