Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menerima replika cek berjumlah RM56,412,369.60 daripada Menteri Agama, Senator Datuk Mohd Naim Mokhtar (dua, kanan) bagi peruntukan bayaran elaun Imam-Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, dan Guru KAFA Negeri Selangor tahun 2023 di Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mei 2023. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff (kanan). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan berkenan terima dana lebih RM56 juta untuk elaun pentadbir masjid, guru Kafa

KLANG, 2 MEI: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis penyerahan peruntukan kerajaan persekutuan untuk bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di Selangor bagi tahun ini, berjumlah lebih RM56 juta.

Majlis penyerahan replika cek oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada Sultan Selangor telah diadakan di Istana Alam Shah, di sini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini berkata baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah memberikan peruntukan berkenaan.

Mohamad Munir berkata sebelum ini, kaedah penyampaian peruntukan bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA kepada negeri-negeri disampaikan kepada Menteri Besar negeri berkenaan.

“Bagaimanapun apabila Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) diambil alih oleh Raja yang memerintah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelaraskan penyampaian peruntukan elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA ke negeri-negeri dibuat melalui Sultan atau Raja negeri berkenaan selaku Ketua Agama Islam untuk disalurkan kepada Jabatan Agama Islam negeri,” katanya.

Katanya, diharapkan kaedah terbaru itu dapat melancarkan penyerahan peruntukan elaun berkenaan ke negeri-negeri di Malaysia ini tanpa dipolitikkan dan dapat meredakan kekeliruan rakyat terhadap perkara tersebut.

Terdahulu pada majlis itu, Mohd Na’im dalam ucapannya berkata bagi negeri Selangor, peruntukan kerajaan persekutuan pada tahun ini adalah sebanyak RM56,412,369.60 yang disalurkan melalui Jakim kepada Jabatan Agama Islam Selangor.

Katanya, peruntukan itu meliputi imbuhan kepada 752 orang imam dengan kadar RM850 sebulan dan elaun guru takmir dengan kadar RM900 sebulan melibatkan 242 orang guru.

Peruntukan itu turut merangkumi bayaran khas sekali beri sebanyak RM600 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM232.80 setahun kepada 2,482 orang imam, bilal, siak dan guru takmir.

Selain itu, peruntukan itu juga membabitkan bayaran elaun berjumlah RM1,261.35 sebulan serta bayaran khas sekali beri sebanyak RM600 kepada 2,800 orang guru KAFA.

Pada masa sama katanya, majlis pada hari ini membawa erti yang sangat besar kepada Jakim selaku Sekretariat MKI dalam menzahirkan hubungan kerjasama yang lebih erat khususnya dalam perkara melibatkan pengurusan hal ehwal Islam di Selangor. – BERNAMA

 


Pengarang :