Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mendengar taklimat daripada Pengarah Hospital Serdang Dr Amin Sah Ahmad ketika melihat replika bangunan Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah di Serdang pada 8 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan nasihat doktor beri khidmat terbaik, sabar tangani pesakit

SEPANG, 8 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menasihatkan petugas kesihatan di hospital kerajaan supaya memberi perkhidmatan terbaik dan bersabar menangani kehendak pesakit.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menyeru orang ramai supaya bertimbang rasa dan bersabar mendapatkan rawatan di hospital awam yang mempunyai ramai pesakit serta bilik rawatan terhad.

Baginda turut berkenan supaya pakar perubatan dan petugas kesihatan lain terus mencurah bakti dan berkhidmat di hospital kerajaan demi menabur jasa kepada rakyat jelata.

“Hanya di hospital kerajaan sahaja rakyat memperolehi rawatan, kepakaran berkesan dan lebih murah bagi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat secara menyeluruh.

“Justeru, Beta menasihatkan doktor dan petugas kesihatan yang lain supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan bersikap profesional,” titah Baginda dalam sebuah majlis hari ini.

Sultan Selangor turut menitahkan kerajaan supaya menjaga kebajikan doktor dan petugas kesihatan berikutan ia kerjaya mulia dan perlu diiktiraf sewajarnya.

 


Pengarang :