Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri majlis perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor, Permaisuri bakal tunai ibadah haji, mohon rakyat doakan kesihatan

SHAH ALAM, 7 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Sultan Selangor memohon doa daripada seluruh rakyat agar baginda dan permaisuri diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna serta mendapat pahala yang mabrur.

“Pada kali ini, beta akan membawa bersama isteri, Tengku Permaisuri Selangor untuk menunaikan haji.

“Beta mohon doa daripada semua rakyat agar beta dan isteri diberi kesihatan yang baik serta dapat menunaikan fardhu haji dengan sempurna dan mendapat pahala haji yang mabrur,” titah Baginda yang sebelum ini pernah menunaikan rukun Islam ke lima pada 2002.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama bakal-bakal haji yang menerima cenderamata sempena majlis perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah hari ini.

Sultan Sharafuddin yang diiringi Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bertemu dengan jemaah yang mengikuti kursus haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Baginda turut menasihatkan jemaah haji supaya jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media-media sosial kerana ia hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

Ribuan bakal-bakal haji menghadiri majlis perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita harus bersyukur dengan adanya sebuah perbadanan seperti Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji negara.

“Oleh itu sekiranya ada sebarang kekurangan atau masalah dengan Tabung Haji, berbincanglah secara baik dengan pegawai-pegawai Tabung Haji.

“Jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media-media sosial kerana ia hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji Negara sentiasa terpelihara.


Pengarang :