Rahimi Ahmad (dua, kanan) berkumpul bersama beberapa keluarga mangsa tembakan di kediamannya di Yardley StreetAvonhead, Christchurch sempena sambutan Syawal baru-baru ini. Foto ihsan Rahimi Ahmad
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Syawal ubati duka mangsa tragedi tembakan di masjid Christchurch

SHAH ALAM, 17 MEI: Lebih empat tahun lalu, Rahimi Ahmad dan beberapa lagi warga Malaysia menjadi antara umat Islam berdepan detik hitam apabila menjadi mangsa tembakan ketika bersolat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Rahimi, 43, dari Pulau Pinang lumpuh kaki kanan ekoran terkena senjata api milik pengganas kulit putih Brenton Tarrant. Sehingga kini dirinya masih trauma dengan episod serangan Masjid Al-Noor, begitu juga anaknya Ahmad Razif yang bersama dengannya sewaktu kejadian.

Seorang rakyat Malaysia Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, antara syahid dalam peristiwa hitam di Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019. Bapanya Mohd Tarmizi Shuib pula cedera parah.

Raya tahun ini bermakna buat Rahimi (dua,. kanan) apabila bertemu semula beberapa keluarga mangsa tembakan.

Selain Mohd Tarmizi, pertemuan itu disertai Mohd Nazril Hisham Omar (tengah) yang turut cedera dalam kejadian terbabit dan Dr Mohammad Firdaus Mohammad Hanib (kanan), doktor warga Malaysia di Hospital Christchurch yang merawat mangsa ketika kejadian.

Pada 1 Syawal lalu, mereka bersama penduduk Islam di Avonhead menyewa sebuah dewan awam milik pihak berkuasa Christchurch untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kedudukannya terletak kurang tujuh kilometer (km) daripada Masjid Al-Noor.

Usai solat Aidilfitri, mereka berkumpul di kediaman keluarga Rahimi di Yardley Street untuk menikmati hidangan seperti nasi tomato, ayam masak merah, rendang, kuah kacang dan lemang.

Hidangan Melayu berkenaan disediakan isterinya Nor Azila Abd Wahid, 43, yang turut mengusahakan perniagaan makanan di bawah jenama ‘Warung Akak’ secara dalam talian.

Pegawai polis bersenjata menjaga kawasan luar Masjid Al Noor, lokasi serangan pengganas yang mengorbankan lebih 40 nyawa semasa solat Jumaat di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019. Foto REUTERS

Usaha berkenaan antara ikhtiar mereka mencari rezeki selepas Rahimi tidak lagi boleh bekerja susulan kejadian 15 Mac 2019 itu.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini agak sederhana tetapi bermakna kerana dapat berkumpul dengan rakan-rakan termasuk bekas mangsa tembakan.

“Kami berkongsi kesedihan dan cuba melupakan peristiwa itu,” kata Rahimi kepada Selangorkini pada 2 Mei.

Kali pertama Rahimi ditemu bual pada Mac 2022. Pengalamannya disiar eksklusif di Selangorkini edisi 10-16 Mac 2022.

Beliau antara mangsa memberi keterangan dalam prosiding pertuduhan Brenton Harrison Tarrant yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, hukuman tertinggi dan kes terorisme pertama di New Zealand.

Tarrant, 28 tahun waktu itu, berpindah ke New Zealand pada 2017 semata-mata untuk mengganas, pemuda warga Australia itu menyiarkan secara langsung di Facebook tindakannya mulai sebelum masuk masjid.

Pengganas itu yang mendekam di unit kawalan paling ketat Penjara Auckland, menggunakan dron pada 8 Januari 2019 untuk mengenal pasti selok-belok lokasi dan binaan Al-Noor.

Terpengaruh ideologi perkauman kulit putih selama bertahun-tahun, pengganas ini mencari video di media sosial bagaimana keadaan masjid sebagai persiapannya menyerang.

Setelah empat tahun berlalu, Rahimi menyedari trauma tembakan yang mengorbankan 51 umat Islam dan mencederakan 40 orang tidak mudah hilang.

Dirinya menerima kesan teruk apabila tidak lagi mampu bergerak seperti biasa. Sebagai ketua keluarga, Rahimi sepatutnya keluar bekerja untuk mencari rezeki buat keluarganya namun kejadian itu mengubah kehidupan.

“Sehingga kini perlu dipantau doktor dan makan ubat dengan dos tinggi. Kadang-kala kaki saya sakit sangat,” katanya yang percaya segala kejadian itu mempunyai hikmah sendiri.

Noor Yahaya Hamzah, 59, mencium tangan ibunya Kamsaton Daud, 82, di Kampung Sungai Tengi Kanan, Kuala Selangor pada 7 Syawal bersamaan 28 April 2023. Foto oleh Nur Adibah Ahmad Izam

Bagi Noor Yahaya Hamzah, 59, seorang lagi mangsa tragedi di Masjid Al-Noor, Aidilfitri kali ini disambut di kampung halamannya di Kampung Sungai Tengi Kanan, Kuala Selangor bersama keluarga tersayang.

Wajah ibunya Kamsaton Daud, 82, yang kali terakhir ditemuinya 12 tahun lalu ditatap dan dicium sepuasnya untuk melepaskan kerinduan.

Timbul perasaan syukur dapat bertemu insan tersayang itu selepas melalui dua detik cemas termasuk gempa bumi besar pada 2011.

“Ibu menangis tetapi beliau sebenarnya tidak tahu apa terjadi kepada saya di sana.

“Beliau tidak pandai membaca, jadi adik-beradik lain tidak beritahu kejadian tembakan kepadanya… kalau beritahu takut menjejaskan kesihatan sebab ibu ada penyakit darah tinggi,” katanya.

Merancang berada di tanah air sehingga 10 Mei, Noor Yahaya banyak menghabiskan masa di rumah pusaka kerana mahu meluangkan masa bersama ibu serta adik beradik lain sebelum pulang ke New Zealand.

Beliau sedar faktor kewangan dan kesukaran mengambil cuti menghadkan peluang pulang ke Malaysia pada masa depan. Jadi Noor Yahaya menggunakan peluang kali ini untuk ‘menikmati semula kehidupan’ sewaktu kecil.

Peluang itu juga digunakan untuk melawat dua rakannya yang menghidap penyakit kritikal. Pertemuan itu termasuk dengan bekas doktor gigi di New Zealand dikenalinya ketika solat di Masjid Al-Noor.

“Beliau kini terlantar kerana angin ahmar, isterinya hubungi saya dan minta kalau boleh balik ke Malaysia untuk melawatnya kerana bimbang bakal terjadi sesuatu,” katanya yang berkahwin dengan warga New Zealand dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Seperti Rahimi, Noor Yahaya percaya setiap perkara terjadi mempunyai hikmah termasuk kejadian di New Zealand pada 15 Mac 2019. Pandangan terhadap Islam semakin baik selepas itu.

Menurutnya, sudah ada kesedaran dalam kalangan penduduk bukan Islam di sana untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam dan menyuarakan sokongan secara terbuka serta menolak sebarang keganasan seperti dilakukan Tarrant.

“Ada ‘orang putih’ memeluk Islam. Mulanya mereka hanya tanya berkenaan agama dan bila sudah faham baru mereka peluk Islam,” katanya yang melarikan diri ke belakang Masjid Al-Noor ketika Tarrant membuat tembakan.


Pengarang :