Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Telaah kitab Ihya’ Ulumuddin ambil masa tiga tahun, festival turath permulaan terjemahan karya

SHAH ALAM, 20 MEI: Terjemahan karya Ihya’ Ulumuddin yang dikupas bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menerusi Festival Turath Islami Selangor mengambil masa tiga tahun.

Pengarah Festival Turath Islami Selangor, Ammar Gazali berkata festival itu hanyalah permulaan menterjemah karya daripada tokoh Islam tersohor dengan lebih lengkap.

“Terjemahan kitab Ihya’ Ulumuddin mengambil masa tiga tahun sebab kita dapatkan pakar penterjemah dan panel penasihat yang akan menasihati aspek bahasa dan ketepatan penterjemahan.

Pengarah Festival Turath Islami Selangor, Ammar Gazali bercakap kepada Media Selangor ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Festival ini merupakan projek gergasi kerana sebelum ini ada syarahan terjemahan tetapi penterjemah dari Indonesia dan sudah lama, namun kali ini kita terjemah dengan lengkap,” katanya berucap pada Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Ammar turut mempelawa orang ramai menyertai festival telaah kitab Ihya’ Ulumuddin yang berlangsung sehingga 25 Mei ini.

“Kita ada beberapa acara terbuka iaitu seminar penghayatan Ihya’ Ulumuddin, majlis zikir darul ehsan, sama’ sifat Nabi Muhammad SAW dan himpunan ilmuan muda Timur Tengah.

“Malah, acara jemputan khas seperti munaqasyah ilmiah turut mendapat maklum balas baik daripada rektor Universiti Islam Antarabangsa kerana mengumpulkan guru pondok dan ahli akademik,” katanya.

Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Menampilkan beberapa tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah, majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari https://www.turathislamiselangor.com/.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Program utama dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.


Pengarang :