Pengarah Projek Tempatan Fest 2023 Mohd Nasir Abdul Rashid (tengah) bersama komuniti usahawan pada sidang media Tempatan Fest 2023 di Lobanghub Seksyen 12 Shah Alam pada 26 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tempatan Fest 2023 tampil 150 usahawan belia, tiket masuk serendah RM10

SHAH ALAM, 26 MEI: Seramai 150 usahawan kreatif mengambil bahagian untuk mengetengahkan produk seni dan budaya dalam program Tempatan Fest 2023 di Dataran MPKJ Stadium Kajang pada 3 dan 4 Jun.

Pengarah projeknya berkata acara yang menghimpunkan produk rekaan, muzik dan fesyen belia tempatan itu mengenakan bayaran RM10 dan tiket boleh dibeli menerusi tftix.com dan tempatanfest.com.my

“Acara tahunan sejak 2013 ini terhenti dua tahun akibat Covid-19, kita kembali dengan Tempatan Fest 2023 bagi pastikan program tetap relevan dengan ekonomi, belia, seni dan kebudayaan.

“Malah sambutan ulang tahun ke-10 Tempatan Fest dilihat penting untuk ketengahkan bakat kreatif anak tempatan yang berkebolehan menjadi jenama besar,” kata Mohd Nasir Abdul Rashid.

Pengarah Projek Tempatan Fest 2023 Mohd Nasir Abdul Rashid (dua dari kanan) menunjukkan antara produk minuman yang akan dijual sempena Tempatan Fest 2023 pada sidang media di Lobanghub Seksyen 12 Shah Alam pada 26 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/ SELANGORKINI

Bercakap dalam sidang media di Lobanghub, Seksyen 12 di sini, beliau berkata selain aktiviti jualan dan persembahan artis, pengunjung turut disajikan dengan pertunjukan fesyen dan pameran motosikal berkuasa tinggi.

“Tempatan Fest 2023 terbahagi kepada dua pentas iaitu Tempatan Stage yang menjadi platform artis tempatan membuat persembahan sepanjang dua hari acara berlangsung. Antara artis yang akan membuat persembahan adalah OAG dan Pretty Ugly.

“Kita turut sediakan Pentas Rakyat untuk didik dan dedahkan generasi muda kepada budaya dan muzik tradisional negara dengan adakan sesi soal jawab bersama seniman tersohor negara seperti M Nasir, Imuda dan Sabri Yunus,” katanya.

Berharap acara berkenaan mendapat sokongan dari agensi kerajaan, Mohd Nasir yakin penganjurannya mampu memperkasa ekonomi belia dan identiti budaya tempatan.

“Program ini bukan sekadar memperkasa ekonomi dan identiti budaya namun turut berperanan menarik anak muda untuk sertai program yang lebih sihat kerana ia turut disertai Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

“Kita turut tampilkan Radhi OAG sebagai ikon supaya anak muda bebas dan tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.


Pengarang :