Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bersama Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad memukul gong sebagai simbolik perasmian majlis sambutan ulang tahun Pekawanis ke-15 dan Hari Ibu peringkat Negeri Selangor 2023 di IDCC Shah Alam pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri serikan sambutan 15 tahun Pekawanis, Hari Ibu

SHAH ALAM, 31 MEI: Kira-kira 1,000 wanita dirai pada sambutan Hari Ibu dan ulang tahun ke-15 Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini.

Majlis diseri dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad.

Masdiana berkata majlis yang julung kali diadakan itu cukup meriah dengan kehadiran Tengku Permaisuri selain pelancaran lagu rasmi pertubuhan itu yang didendangkan penyanyi veteran, Alina Hassan.

“Ramai wanita yang merupakan isteri kepada wakil-wakil rakyat, sama ada Ahli Dewan Negeri Selangor atau ahli parlimen, termasuk saya telah menyertai gabungan ini dengan tekad untuk memberi peluang baharu yang lebih cerah kepada wanita khususnya ibu tunggal.

“Dengan moto ‘menjadi sebuah pertubuhan yang sentiasa peka dengan kebajikan rakyat’, Pekawanis sentiasa bergiat aktif dalam masyarakat dengan menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Selangor,” katanya.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bercakap kepada media pada majlis sambutan ulang tahun Pekawanis ke-15 dan Hari Ibu peringkat Negeri Selangor 2023 di IDCC Shah Alam pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Masdiana menambah seramai 340 tokoh ibu dipilih daripada 35 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 10 daripada mereka akan menerima anugerah khas iaitu Tokoh Ibu Mithali, Ibu Ikon, Ibu Inspirasi dan Ibu inovatif.

“Kita semua tahu dan mengiktiraf pengorbanan yang ibu berikan amat besar dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bak kata pepatah ‘kasih ibu membawa ke syurga’ begitulah tingginya taraf ibu dalam kehidupan kita.

“Justeru, majlis hari ini sangat bermakna kerana ini merupakan tahun ketiga Pekawanis memberi anugerah tokoh ibu kepada ibu-ibu di seluruh Selangor bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.


Pengarang :