Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar bercakap pada sesi temu bual bersama media mengenai Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 ketika di kediamannya di Bukit Gasing pada 25 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tugas wartawan bukan sekadar lapor berita, kebebasan media tunjang demokrasi

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 merupakan platform buat para wartawan memperkukuh komitmen dan tanggungjawab terhadap profesion disandang sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berkata HAWANA yang disambut pada 29 Mei setiap tahun bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada peranan wartawan tempatan malah menjadi platform memperkukuh ekosistem kewartawanan negara.

“(Sambutan HAWANA) apabila kita bertemu setahun sekali bukan sahaja untuk berkumpul, tetapi untuk memperkukuh komitmen kita, tentang profesion, etika, masa depan dan memastikan kita melahirkan satu ekosistem yang membolehkan kita beroperasi dengan cara terbaik serta memberikan kerja terbaik.

“Ini komitmen kita, tanggungjawab sebagai wartawan. Tanggungjawab wartawan bukan sekadar untuk melaporkan berita dan sebagainya, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk mempersiapkan negara, memahami tugas dan peranan kita untuk kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu di program Jendela Fikir, “Kebebasan Media, Demokrasi Dan Perpaduan : Apa Peranan Media?” disiarkan Bernama Radio hari ini.

Sambutan HAWANA 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

HAWANA 2023 akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti forum media melibatkan wartawan dari negara-negara ASEAN, karnival mini, pertandingan mencari harta karun (treasure hunt) dan pertandingan boling.

Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.

Mengulas lanjut Johan berkata aspek kebebasan media yang menjadi antara tunjang demokrasi secara keseluruhannya menunjukkan perubahan memberangsangkan di negara ini, dilihat berlaku terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Berdasarkan Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 Malaysia berada di tangga ke-73 berbanding tangga ke-113 tahun lepas, iaitu peningkatan 40 anak tangga.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178). – BERNAMA


Pengarang :