Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ulama besar Mesir hurai kitab al-Ghazali dalam Festival Turath

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 8 MEI: Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Negeri mengangkat kitab agung Ihya Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang mula diterjemahkan awal tahun ini.

Festival itu, yang berlangsung 20 hingga 25 Mei, akan menampilkan bekas mufti besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab (foto kanan) bagi membentang isi utama keseluruhan 40 bab dalam kitab ulung itu.

Penterjemahan 10 jilid kitab berbahasa Arab kepada 20 jilid edisi Melayu digerak Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) melalui tajaan Kerajaan Negeri. IBDE sangat dikenali sebagai penggerak projek terjemahan karya agung dunia melalui Siri Pencerahan Selangor sejak 2016.

Idea program selama enam hari, yang dilancarkan pada 1 Mei lalu, bertujuan menyemarak lagi minat rakyat terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.

Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Timbalan Pengarah Sekretariat Festival Farhan Affandi memberitahu Selangorkini idea program itu muncul sewaktu berbincang dengan Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Disember lalu.

Pada waktu itu, Kerajaan Negeri berminat menganjurkan seminar penghayatan Ihya Ulumuddin oleh beberapa ulama nusantara dan sekali gus melancarkan projek penterjemahan karya itu.

“Dalam perbincangan itu Dato’ Menteri Besar cadangkan kita melancarkannya melalui program berskala besar untuk menyemarakkan lagi program keilmuan, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menaja projek penterjemahan ini, dengan memanggil tokoh ilmuan antarabangsa yang berpengaruh.

“Jadi, nama yang timbul ketika itu adalah Dr Ali Jum’ah. Jadi kami menghantar wakil (untuk jemputan) dan beliau bersetuju untuk hadir. Beliau menjadi tokoh penting festival ini,” katanya pada 2 Mei.

Farhan, yang juga pengarah eksekutif IBDE, berkata terjemahan Ihya Ulumuddin dijadual selama empat tahun dan dijangka siap pada 2026. Bab 1 berjudul Kitab Al-Ilmi (kitab ilmu) telah siap diterjemah dan akan diterbitkan sebulan lagi.

Soal jawab ilmiah

Sambutan festival itu dimulai majlis talaqqi kitab Ihya Ulumuddin oleh Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni sebanyak dua sesi di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada 1 Mei.

Farhan menjelaskan sekretariat itu turut menyusun program khusus, termasuk dua yang tertutup, dalam tempoh seminggu hujung bulan ini.

Program yang terbuka kepada orang ramai antaranya Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin, Sama’ (Pembacaan) Sifat Nabi Ihya’ Ulumuddin dan Ijazah Hadis Musalsal, serta Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah.

Acara tertutup pula melibatkan Munaqasyah Ilmiah, soal jawab ilmiah berkaitan cabaran terhadap tradisi turath Islami dalam abad ke-21, dan Muzakarah Ulama-Umara.

Orang ramai mendengar pengajian secara membaca tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain Dr Ali Jum’ah, tokoh ilmuan Islam dari luar negara yang bersetuju hadir termasuk:

  • Dr KH Said Aqil Siradj – pengerusi Nahdhatul Ulama, Indonesia daripada 2010 sehingga 2021
  • Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni – ulama dan tuan guru pondok Maahad Darul Muhajirin di Kampung Dusun Sepanjang, Pattani, Thailand
  • Baba Haji Ghazali Ahmad Al-Fathoni – ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Pattani dan tuan guru Pondok Al-Islami Liddirasat Al-Islamiah Kampung Wakaf Budi, Sekam, Pattani, Thailand
  • Dr Nadirsyah Hosen – profesor madya Fakulti Undang-undang Universiti Monash dan pengurus Cabang Istimewa Nahdhatul Ulama di Australia dan New Zealand

Sementara itu tokoh ilmuan Islam tempatan yang dijadual membentangkan pemikiran masing-masing:

  • Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar – pemegang Kerusi al-Ghazali di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)
  • Dato’ Setia Dr Anhar Opir – mufti Selangor
  • Datuk Dr Luqman Abdullah – mufti Wilayah Persekutuan
  • Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty – ahli Felo Kehormat Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) Asia Timur dan Asia Tenggara

Mereka yang ingin menyertai Festival Turath Islami Selangor boleh merujuk semua program ini di laman www.turathislamiselangor.com.


Pengarang :