UPM dan KDEBWM menyerahkan enam tong pada pelancaran program pengurusan sisa pepejal dan kitar semula di Taman Idaman Murni, Sepang pada 23 Mac 2023. Foto Universiti Putra Malaysia
AGENSISELANGOR

UPM, KDEBWM sedia tong khas galak warga Taman Idaman Murni kitar semula

SHAH ALAM, 9 MEI: Sejumlah 90 kilogram barangan kitar semula dikumpul menerusi kempen pengurusan sisa pepejal anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Taman Idaman Murni, Sepang.

Pengarah projek Dr Sazlinda Kamaruzaman berkata kempen bermula Mac lalu mendapat sambutan penduduk yang membuang kertas, kaca, plastik dan tin aluminium di enam tong khas disediakan.

Menurut pensyarah Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM itu, tong terbabit ditempatkan sepanjang 10 bulan projek berlangsung bagi memupuk kesedaran dan menggalak pengasingan sisa pepejal dari rumah.

“Barangan terbabit akan dibawa ke pusat kitar semula diuruskan KDEBWM,” katanya ketika dihubungi.

Penduduk mengasingkan bahan sisa pepejal untuk dikitar semula pada pelancaran program di Taman Idaman Murni, Sepang pada 23 Mac 2023. Foto Universiti Putra Malaysia

Sazlinda berkata kaji selidik pihaknya mendapati ketiadaan tong khas menyebabkan ramai penduduk tidak dapat mengasingkan sisa pepejal dengan betul dan melaksanakan kitar semula.

Jelasnya, situasi itu bukan hanya menyebabkan pembaziran komoditi berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara tetapi meningkatkan kos pengurusan sampah dan risiko pencemaran alam sekitar.

“Susulan itu UPM memberi sokongan dengan menyediakan ruang terbabit, diharapkan penduduk dapat berkongsi ilmu pengurusan kitar semula dengan komuniti perumahan lain pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Taman Idaman Murni Mohd Amri Abdullah menghargai usaha UPM dan KDEBWM menganjurkan inisiatif terbabit yang mampu membantu menjaga kebersihan persekitaran.

“Penjagaan kebersihan dapat mengurangkan risiko penyakit kepada penduduk,” jelasnya.

 

 

 


Pengarang :