PENDAPATRENCANA

Usahawan Hijrah ‘bergelut’ depani pascapandemik, kenaikan inflasi

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Keadaan ekonomi dunia masih tidak stabil memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Malaysia tidak terkecuali kesan kelembapan itu.

Susulan itu, ia memberi tempias kepada pengguna dan usahawan yang masih bergelut keluar daripada dampak pandemik Covid-19 sejak 2020 dan kesan perang Ukraine awal tahun lepas.

Sejak mengambil alih teraju negara pada hujung November lepas, pentadbiran Kerajaan Perpaduan sedaya upaya memulihkan ekonomi negara, termasuk mengawal inflasi yang menjejaskan banyak negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023 pula meningkat 0.9 peratus berbanding suku keempat tahun lepas kepada 5.6 peratus. Jika dibanding suku pertama tahun lalu, KDNK tumbuh 4.8 peratus.

Bank Negara Malaysia juga meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus daripada 2.75 peratus bagi mengawal inflasi. Hasilnya, kadar inflasi pada suku pertama tahun ini menyederhana kepada 3.6 peratus.

“Kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mac 2023 terus mencatat trend penurunan kepada 3.4 peratus (Feb 2023: 3.7 peratus), iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus) serta Amerika Syarikat dan Indonesia (masing-masing 5 peratus),” kata Kementerian Kewangan pada 12 Mei.

Kerajaan Negeri sendiri sering membantu rakyat, termasuk 57,738 usahawan kecil dan sederhana, melalui pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang turut bergelut dengan situasi pascapandemik dan kenaikan inflasi.

Sebanyak RM754 juta diberi kepada 34,379 usahawan wanita dan 23,359 lagi peniaga lelaki (setakat 10 Mac). Diperkenal sejak 2015, skim pinjaman kewangan Hijrah itu disediakan bagi mengatasi masalah kekurangan modal.

Pada 2018, lebih RM79 juta disediakan tetapi peruntukan itu berubah-ubah setiap tahun berdasarkan permohonan peniaga sebelum bertambah di hujung wabak pada 2021 dan 2022.

Selangorkini meninjau pendapat beberapa usahawan yang mendapat pinjaman Hijrah ketika mereka mencari rezeki di bazar Ramadan dan gerai persiapan Aidilfitri baru-baru ini.

Dua daripada mereka berniaga makanan di bazar Ramadan, dua lagi menjual pakaian raya dan seorang berniaga biskut raya. Semua mendapat keuntungan walau tidak serancak tahun lepas.

Pelanggan tahun ini lebih berjimat-cermat selain dakwaan harga makanan di banyak bazar Ramadan meningkat dan keperluan perbelanjaan sekolah yang dibuka pada 19 Mac, empat hari sebelum sambutan 1 Ramadan.

Kerajaan Perpaduan cuba membantu belanja persekolahan dengan menghulur RM150 setiap murid.

Selain itu, Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 sebanyak RM300 setiap keluarga sejak Januari lepas. Menjelang Aidilfitri, RM200 lagi dihulurkan kepada empat juta isi rumah yang layak menerimanya.

Pemilik restoran Mios Kitchen Mior Amin Badalishah memeriksa makanan untuk hidangan pelanggan ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Laman Seri, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kurang berbelanja

Di Selangor, pihak berkuasa tempatan pula menambah peluang perniagaan kepada 10,524 petak bazar Ramadan tahun ini berbanding 7,623 tempat pada 2022, sekali gus meningkatkan persaingan dalam kalangan peniaga.

Ramai peniaga merungut pembeli kurang berbelanja walau kunjungan orang ramai di bazar-bazar Ramadan meningkat tahun ini berbanding 2022. Di banyak negeri, termasuk Selangor, Ramadan kali ini menyaksikan hujan turun di sebelah petang yang menjejaskan kehadiran pembeli.

Berikut reaksi usahawan Hijrah sewaktu dihubungi Selangorkini berhubung sambutan terhadap juadah atau barangan di gerai mereka.

Hainishariza Hamzah, 44,
(Peniaga makanan di bazar Ramadan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi)

“Terasalah dari sudut keuntungan. Dulu dua tapak, sekarang dapat satu tapak. Selepas kos (bayaran) tapak, bahan mentah, ada pekerja lagi, bergelut juga untuk bayar gaji dia orang. ‘Struggle’ untuk dapat untung walaupun ada. Kita juga bersaing dengan peniaga lain.”

Noraishah Tajuddin, 31,
(Peniaga kasut dan sandal di bazar Jalan Taiping, Klang

“Keuntungan nipis tahun ini, habis banyak bayar tiga orang pekerja saja. Pada 2022, ramai orang membeli. Barang habis. Orang datang tidak berhenti-henti. Dari jam 8 malam hingga 12 malam, sibuk melayan pelanggan.”

Mohd Fairiz Hezri Mohd Safri, 39,
(Peniaga biskut raya di Kompleks PKNS Shah Alam)

“Tahun lepas, dua minggu hendak raya, hampir 95 peratus kuih sudah habis. Tahun ini, seminggu lagi hendak raya, kita terpaksa buat jualan murah. Kuih masih lagi berlambak. Kita jual dengan diskaun 20 peratus daripada harga asal.

Rohani Saliman, 56,
(Peniaga pakaian di Plaza Alam Sentral)

“Pelanggan tanya macam mana perniagaan, saya kata perlahan sedikit. Sambutan agak merosot kerana ibu bapa buat persiapan untuk persekolahan anak-anak. Bayangkan kalau ada tiga anak? Tahun ini mencabar sedikit. Stok banyak lebih. Tahun lepas tidak cukup barang.”

Mohamad Azmeer Mohamad Asrry, 31,
(Peniaga tembikai bazar Ramadan Puchong Prima)

“Tahun ini perlahan sikit. Tidak tahu kenapa, mungkin sebab orang tidak ada duit, jadi kuasa membeli kurang. Tahun lepas okay, ada keuntungan. Tahun ini juga ada untung tetapi diguna untuk bayar pekerja dan tapak.”


Pengarang :