Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han (kiri) bersama Datuk Bandar Subang Jaya, Johary Anuar (dua, kanan) melihat kertas cadangan projek ketika sidang media projek pembinaan laluan baharu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Puchong Jaya, Subang Jaya pada 13 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat tangani isu trafik, tingkat fasiliti sukan di DUN Kinrara

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU LANGAT, 15 MEI: Penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti sukan antara usaha dilaksana Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Ng Sze Han berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mempunyai bilangan pengundi paling ramai di Malaysia dan bilangannya lebih ramai berbanding kebanyakan kerusi Parlimen.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bercakap kepada Media Selangor selepas merasmikan majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dengan jumlah penduduk yang begitu padat ada pelbagai masalah di DUN Kinrara. Satu masalah utama adalah kesesakan lalu lintas dan kemudahan sukan.

“Telah banyak perubahan kita bawa ke Kinrara dalam beberapa tahun lepas. Kita telah tambah dua gelanggang bola keranjang berbumbung di kawasan Puchong dan akan tambah satu lagi kemudahan sama.

“Saya berani katakan kebanyakan padang di Kinrara berada dalam keadaan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Kem Muhibbah Kita Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor di sini, semalam.

Wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han (kiri) meninjau pembukaan laluan Jalan Kinrara 6 yang bersambung dengan Persiaran Puncak Jalil pada 14 Julai 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Sze Han berkata bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pihaknya telah menyambung beberapa laluan bagi memudahkan penduduk bergerak selain mengelak kenderaan bertumpu di Lebuhraya Damansara Puchong.

Pada 14 Julai tahun lalu laluan baharu di Jalan Kinrara 6 yang bersambung dengan Persiaran Puncak Jalil dibuka bagi memanfaatkan kira-kira 40,000 penduduk di sekita kawasan terbabit.

Jalan yang dibuka dengan kos lebih RM7 juta turut melibatkan binaan sistem saliran dan memudahkan orang ramai keluar masuk ke Kuala Lumpur.

Pembinaan jalan itu turut menjimatkan masa penduduk sekitar 15 minit ke Puchong tanpa perlu bersesak melalui jalan di hadapan Pangsapuri Enggang.

Sebelum adanya jalan terbabit penduduk perlu melalui hadapan Pangsapuri Enggang sehingga mengakibatkan laluan trafik sesak kerana terdapat 1,000 unit kediaman di pangsapuri berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han turun padang bagi meninjau dan mendengar taklimat berhubung kerja pengukuhan tebing di Taman Kinrara pada 14 Jun 2022. Foto Facebook NG SZE HAN

 


Pengarang :