Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru pada 26 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Wanita ditahan bantu siasatan kes dera bayi di taska

JOHOR BAHRU, 16 MEI: Wanita tempatan berusia 21 tahun ditahan pagi ini untuk membantu siasatan kes mendera bayi di sebuah taska di Mutiara Rini, dekat Skudai, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata wanita itu ditahan 2 pagi tadi di Selesa Jaya, Skudai oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri.

“Semalam, Polis Kontinjen Johor telah mengesan dua video tular di media sosial berdurasi 48 saat dan 39 saat menunjukkan seorang perempuan mengasari seorang bayi.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska di Mutiara Rini, melibatkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Kamarul Zaman juga berkata taska itu beroperasi secara tidak sah.

Beliau berkata permohonan reman ke atas wanita itu akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Kamarul Zaman mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat Insp Lavanya di talian 019-8822403 untuk membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :