AGENDAJENAYAH

Wanita maut dipercayai ditikam bekas tunang dalam pusat beli-belah

KOTA KINABALU, 29 MEI: Wanita maut dipercayai dibunuh bekas tunangnya di sebuah premis dalam pusat beli-belah di Jalan Haji Saman, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai ditemui terlentang atas lantai dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Suspek berusia 33 tahun yang masih berada di kedai itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bergegas ke lokasi seleps menerima laporan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata anggota polis yang tiba di lokasi mendapati mangsa masih bernafas ketika itu dalam keadaan berlumuran darah, lapor Berita Harian.

“Pegawai perubatan segera memberi bantuan pernafasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan awal mendapati beberapa kesan tikaman pada tubuhnya.

“Polis menahan seorang lelaki yang juga bekas tunang mangsa untuk siasatan lanjut dan merampas sebilah pisau, dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk bagi mengenal pasti motif kejadian.


Pengarang :