Masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan Rumah Terbuka Riang Raya @ PJ anjuran MBPJ di Laman MBPJ pada 19 Mei 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Warga Jepun teruja kali pertama hadir rumah terbuka, acara unik satu padu masyarakat

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 20 MEI: Majlis Riang Raya@PJ anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, berlangsung meriah selain dilihat sebagai acara unik menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Yoshida Akihiro, 53, warga Jepun yang baru kali pertama mengunjungi acara rumah terbuka teruja melihat suasana harmoni rakyat berbilang kaum yang hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Yoshida Akihiro, 53 pada rumah terbuka riang raya @ PJ anjuran MBPJ di Laman MBPJ pada 19 Mei 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Rumah terbuka ini sangat menarik memandangkan budaya di Malaysia berbeza dengan budaya di Jepun. Makanan yang disediakan seperti kambing bakar dan cendol pun sangat sedap.

“Pengalaman hadir rumah terbuka pasti menjadi kenangan indah apabila saya pulang ke Jepun nanti,” kata guru sekolah rendah yang berasal dari Okinawa itu.

Sementara itu, pengurus pentadbiran syarikat swasta,  Dhanisha Jayamaran, 39, berkata beliau sekeluarga tetap hadir ke majlis tersebut meskipun hujan.

“Saya datang bersama suami dan tiga anaknya dari Puchong, hendak datang ke sini pun sejam juga perjalanan. Kami tidak mahu melepaskan peluang merasai keseronokan rumah terbuka.

. Dhanisha Jayaraman, 39 pada rumah terbuka riang raya @ PJ anjuran MBPJ di Laman MBPJ pada 19 Mei 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Di sini (rumah terbuka), kita dapat lihat suasana masyarakat berbilang kaum sama-sama beratur dan ada yang tolong ambilkan makanan.

“Selain nikmati pelbagai juadah dihidangkan, saya boleh ajar anak-anak kebudayaan dan permainan tradisional Melayu yang turut dipamerkan dalam program ini,” katanya.

Bagi kakitangan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Wan Amanina Wan Mohd Rosdi, 23, menyifatkan program tersebut sebagai wadah perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Pada pendapat saya acara sebegini perlu diteruskan kerana dapat kenal dengan ramai orang memandangkan berkongsi tempat untuk menikmati hidangan yang disediakan walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Wan Amanina Wan Mohd Rosli pada rumah terbuka riang raya @ PJ anjuran MBPJ di Laman MBPJ pada 19 Mei 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Seronok tengok ramai bangsa Melayu, Cina dan India ramai-ramai beratur untuk ambil makanan dalam suasana meriah,” katanya yang menggemari juadah laksa utara dan makaroni keju yang disediakan dalam majlis berkenaan.

Terdahulu lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Riang Raya@PJ  yang berlangsung meriah di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin Seksyen 52, di sini.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis seperti Ramlah Ram, Haziq Rosebi dan Mamat selain persembahan kakitangan MBPJ yang mendendangkan lagu bertajuk Lebaran di Petaling Jaya.


Pengarang :