Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Wisma Putra bantu bawa turun jasad Awang Askandar, sahkan kehilangan pendaki OKU

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Kementerian Luar sedang menghulurkan bantuan untuk membawa turun jasad Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia dalam Misi Malaysia Everest 2023.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menghulurkan bantuan membawa turun jasad Awang Askandar dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.

Menurut kenyataan itu, kementerian terbabit juga mengesahkan Awang Askandar meninggal dunia kelmarin pada usia 56 tahun ketika dalam Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023).

“Kementerian Luar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin,” menurut kenyataan itu.

Ekspedisi tersebut disertai Allahyarham bersama tiga pendaki dan seorang pasukan sokongan.

Kementerian Luar juga mengesahkan kehilangan Muhammad Hawari Hashim, 33, salah seorang peserta ekspedisi itu yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

“Beliau dipercayai berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan telah bergerak turun selepas itu namun masih belum dapat dikesan sehingga kini.

“Wakil Kedutaan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang giat menjalankan usaha mencari mangsa di sekitar kawasan itu,” katanya.

Sebarang perkembangan terkini misi pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Misi itu turut mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa.

– BERNAMA


Pengarang :