Seramai 120 pelajar tingkatan lima menyertai bengkel pemantapan diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 15 Jun 2023. Foto Facebook STDC
AGENSISELANGOR

120 pelajar tingkatan lima sertai bengkel, kenali diri, tingkatkan kemahiran

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 JUN: Seramai 120 pelajar tingkatan lima menyertai bengkel pemantapan diri di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Kuala Selangor semalam.

Program melibatkan penyertaan lima sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Selangor, SMK Bukit Kuching Tengah, SMK Tiram Jaya, SMK Sungai Burong dan SMK Puncak Alam.

“Antara pengisian program adalah permainan mengenali personaliti diri dan pengenalan kerjaya yang sesuai dengan peserta serta aktiviti latihan amali.

Peserta menjalani latihan amali ketika menyertai bengkel pemantapan diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 15 Jun 2023. Foto Facebook STDC

“Peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dari pelbagai sekolah dalam penglibatan kursus pastri (pembuatan kek), kursus servis motosikal, servis penyamanan udara, jahitan kreatif (beg jinjing), automotif (servis kereta) dan IT (transformasi digital),” kata kenyataan menerusi Facebook STDC.

Menerusi program percuma anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama STDC dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor itu, peserta berpeluang menerima tajaan belajar selain didedahkan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

10 Jun lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri bakal memperluaskan kerjasama dengan sekolah menengah bagi mempertingkatkan kemahiran TVET dalam kalangan pelajar.

Usaha yang dilaksana menerusi STDC itu merupakan langkah penyediaan ekosistem menyeluruh dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

Peserta menyelenggara penghawa dingin ketika menyertai bengkel pemantapan diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 15 Jun 2023. Foto Facebook STDC

STDC yang dijenamakan daripada Kolej Antarabangsa INPENS pada Ogos 2020 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk merencana Agenda Pendidikan Unggul bawah strategi Belanjawan 2020.

Menerusi langkah terbabit STDC menawarkan pelbagai latihan kemahiran yang berkualiti dan berimpak tinggi ke arah Revolusi Industri 4.0.


Pengarang :