OLEH DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak 13 lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar dipasang di beberapa lokasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerusi Projek Selangor Penyayang.
Penyandangnya Hasnul Baharuddin berkata tiga kawasan kampung menerima manfaat antaranya Jalan Serdang di Sungai Buaya, Jalan Batu 6 Kampung Kelanang Dan Jalan Kampung Tali Air.
“Semua lampu solar ini demi kemudahan penduduk setempat. Dengan pencahayaan jalan yang lebih baik, risiko kemalangan akan berkurangan,” katanya menerusi Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/solar-morib-375x500.jpg.webp)
Pada 11 Februari EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi pemasangan lampu solar di seluruh Selangor yang bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut Izham pemasangan fasa pertama lampu solar yang bermula November tahun lalu telah selesai pada Disember melibatkan 31 DUN.
Manakala fasa kedua bermula Mac dan pemasangan dijangka selesai sepenuhnya pada Mei.
Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.
Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.