ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof (tengah) bergambar bersama di Majlis perasmian program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (OPKIMS) di Kampung Pangsun, Hulu Langat pada 17 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

140 keluarga Orang Asli Temuan sertai program khidmat masyarakat mahasiswa

Oleh AZIAN AZIZ

HULU LANGAT, 17 JUN: Sebanyak 140 keluarga Orang Asli kaum Temuan menyertai program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (Opkims) di Tabika Kemas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kampung Pangsun di sini hari ini.

Program yang bertujuan memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat Orang Asli itu disertai 60 mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Antarabangsa Unitar dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Orang Asli Kampung Pangsun membuat saringan kesihatan yang diadakan pada Majlis perasmian program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (OPKIMS) di Kampung Pangsun, Hulu Langat pada 17 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Program dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, pejabat kesihatan, Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Jakoa itu juga bertujuan mendekatkan golongan mahasiswa dengan masyarakat Orang Asli.

Wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata beliau mengalu-alukan kedatangan mahasiswa ke Dusun Tua untuk mendekati masyarakat di sini.

“Dusun Tua memang dah jadi lokasi kebiasaan mahasiswa buat program dan saya amat menghargai usaha tersebut. Melalui program sebegini mahasiswa dapat kenal dan faham denyut nadi masyarakat,” kata beliau selepas merasmikan program tersebut.

Anak-anak orang asli mengambil bahagian salah satu acara bersama mahasiswa pada Majlis perasmian program Operasi Khidmat Masyarakat Mahasiswa Selangor (OPKIMS) di Kampung Pangsun, Hulu Langat pada 17 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, ketua projek Opkims Ally Idham Allykallam berkata pelbagai acara dijalankan dalam program separuh hari itu antaranya saringan kesihatan dan pergigian, senamrobik, sukaneka, pertandingan mewarna serta pameran Persatuan Digital Malaysia.

“Acara diakhiri dengan gotong royong memasak dan makan makan tengah hari bersama masyarakat Orang Asli dan penduduk kampung,” katanya.


Pengarang :