Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

16 peratus peserta Selangor Saring dikesan hidap sakit buah pinggang kronik

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebanyak 16 peratus daripada 22,767 individu yang menyertai program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri tahun lalu dikesan menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap sederhana dan tinggi.

Menerusi infografik yang dikongsi di Facebook EXCO kesihatan awam, tahap satu menunjukkan buah pinggang sihat atau stabil manakala tahap lima perlu menjalani rawatan dialisis.

Golongan yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit itu adalah individu berusia 60 tahun ke atas, menghidap masalah batu karang, penghidap gout, perokok tegar dan berat badan berlebihan.

“Keputusan Selangor Saring 2022 menunjukkan 16 peratus peserta didiagnosis menghidapi penyakit buah pinggang kronik tahap sederhana dan tinggi.

“Mereka dirujuk kepada pegawai perubatan di klinik-klinik panel dan pakar nefrologi serta Hospital Pengajar UPM (HPUPM),” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada 31 Mei lalu, wakil rakyat Seri Serdang itu memaklumkan program Selangor Saring mencatat kadar kehadiran tertinggi dengan 22,767 individu atau 68.36 peratus mendapat manfaat sejak tahun lalu.

Program terbabit antara enam inisiatif diperkenal pentadbiran Selangor khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut, yang menyasarkan individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 1-800-22-6600 atau klik https://selangorsaring.selangkah.my/.

 


Pengarang :