Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 9 JUN: Kira-kira 68 peratus daripada 22,767 individu yang menyertai program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri tahun lalu dikesan menghidap penyakit kencing manis, kolestrol tinggi atau kedua-duanya.
Menerusi infografik yang dikongsi di Facebook EXCO kesihatan awam, antara simptom penyakit diabetes termasuklah penglihatan kabur, kerap buang air kecil, hilang berat badan, dan luka lambat sembuh.
Menurut maklumat yang dipaparkan, pesakit diabetes juga kerap dahaga, sentiasa letih dan selera makan meningkat.
“Tahukah anda sebanyak 68 peratus keputusan Selangor Saring 2022 menunjukkan peserta telah didiagnosis menghidapi penyakit kencing Manis, kolestrol tinggi atau kedua-duanya,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.
Infografik itu turut berkongsi sebanyak 366 juta kes kencing manis dilaporkan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF).
Pada 31 Mei lalu, Dr Siti Mariah memaklumkan program Selangor Saring mencatat kadar kehadiran tertinggi dengan 22,767 individu atau 68.36 peratus mendapat manfaat sejak tahun lalu.
Program terbabit antara enam inisiatif diperkenal pentadbiran Selangor khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut, yang menyasarkan individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 1-800-22-6600 atau klik pautan selangorsaring.selangkah.my