SABAK BERNAM, 9 JUN: Sebanyak 73 daripada 104 perpustakaan awam di negeri ini selesai dinaik taraf, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
Datin Paduka Mastura Muhamad berkata selain itu, sebanyak lapan lagi projek menaik taraf perpustakaan bakal dilaksanakan pada tahun ini.
“Kami amat berbesar hati dengan sokongan berterusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang sejak hari pertama sebagai pengerusi PPAS sentiasa memberikan perhatian istimewa dan sokongan padu.
“Sokongan daripada pemimpin kerajaan amat diperlukan supaya prasarana dan perkhidmatan PPAS ditambah baik dan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Menerusi pelbagai langkah diambil untuk keselesaan pengunjung, kita harap ia dapat menggalak budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Awam Selangor Daerah Sabak Bernam yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Beliau berkata projek menaik taraf Perpustakaan Awam Selangor Daerah Sabak Bernam membabitkan keluasan bangunan 26,775 kaki persegi dengan kos RM3.3 juta.
“Projek naik taraf ini juga turut membabitkan usahasama projek solar dengan Worldwide Holdings Bhd.
“Selain perpustakaan di daerah ini tiga lagi projek (solar) yang sedang dilaksanakan membabitkan Perpustakaan Awam Selangor Daerah Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat,” katanya.
