Pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Bandar Bukit Raja dibuka bagi menempatkan 78 mangsa banjir sekitar Bandar Bukit Raja, Klang pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Wan Harmiyuddin
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

78 mangsa bah di Klang berteduh di PPS, jangka boleh pulang petang ini

SHAH ALAM, 5 JUN: Seramai 78 mangsa banjir sekitar Bandar Bukit Raja, Klang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Bandar Bukit Raja sejak awal pagi semalam.

Setiausaha bahagian khidmat pengurusan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPNB) berkata 20 keluarga terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air sehingga 0.5 meter ekoran hujan lebat beberapa jam pada hari kejadian.

“Air juga naik dengan cepat susulan pertembungan dengan fenomena air laut pasang. Dalam masa sama sistem saliran tidak dapat tampung kuantiti air. Paras air sungai juga tinggi jadi air tak dapat dialirkan.

“Kita jangkakan jika cuaca hari ini baik dan air pasang tiada, mangsa boleh pulang ke rumah masing-masing mulai petang ini. PPS ini juga akan ditutup,” kata Muhammad Hanafi Ahmad ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa terdiri daripada 27 lelaki dewasa, perempuan dewasa (30), kanak-kanak lelaki (10) dan kanak-kanak perempuan (11).

“Mereka disaring mengikut tahap kesihatan dan menerima barangan keperluan masing-masing. Penempatan mangsa mengikut keluarga,” katanya.

Malam tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Klang.

Bagaimanapun kerja pengepaman yang dilakukan segera berjaya mengawal air naik dan surut pada sebelah petang.


Pengarang :