Salah seorang peserta bertanyakan soalan kepada ahli panel pada Seminar Mengenai Pengurusan Pengawalan dan Pencegahan Demam Denggi Negeri Selangor di Petaling Jaya pada 20 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

90 sukarelawan MBPJ gotong-royong hapus tempat biak aedes

PETALING JAYA, 20 JUN: Seramai 90 sukarelawan kendalian Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bergotong-royong menghapus tempat pembiakan nyamuk aedes bagi menangani kes denggi yang kian meningkat.

Dato Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata aktiviti itu juga untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai risiko wabak.

“Pasukan sukarelawan SEDAR yang ditubuhkan MBPJ mempunyai 150 ahli namun yang aktif 90 membantu menurunkan kes denggi dan fokus hapuskan tempat pembiakan aedes.

“Namun pihak kami juga sedang memikirkan pendekatan lebih inovatif untuk meningkatkan kesedaran rakyat, mungkin adakan pertandingan hapuskan tempat pembiakan yang akan dijalankan sukarelawan SEDAR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Mengenai Pengurusan Pengawalan dan Pencegahan Demam Denggi di Negeri Selangor di Hotel Sheraton di sini hari ini.

Mohamad Azhan juga berkata jumlah kes denggi negeri menurun sebanyak 2.7 peratus kepada 1,204 kes bagi tempoh 4 hingga 10 Jun, berbanding 1,238 kes minggu sebelumnya.

“Bilangan kes tertinggi ialah Petaling Jaya (175), Sungai Buloh (142), Damansara (134), Batu (128) dan Klang (92).

“Manakala secara kumulatif mukim tertinggi bilangan kes ialah Klang (3,336), Petaling (2,961), Damansara (2,665), Sungai Buloh (2,113) dan Kajang (1,865),” katanya.


Pengarang :