Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (kanan) ditemani Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim (tengah) menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan kolam tadahan air bawah Projek Selangor Penyayang bagi menangani isu banjir di Jalan Industri USJ 1/2, Subang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Subang Jaya belanja hampir RM350,000 bina kolam tadahan tangani bah

SUBANG JAYA, 21 JUN: Sebuah kolam tadahan air bakal dibina di Jalan Industri USJ 1/2 di sini bagi mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan industri USJ 1.

Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata kolam tadahan membabitkan kos RM334,631 mula dibina 23 Jun dan dijangka siap pada 14 September.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze ketika ditemui Media Selangor selepas pecah tanah pembinaan kolam tadahan hujan bawah Projek Selangor Penyayang bagi menangani isu banjir di Jalan Industri USJ 1/2, Subang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Dengan adanya kolam tadahan yang mampu menampung isipadu air sebanyak 2,708 meter padu, insiden banjir membabitkan pemain industri dan beberapa kawasan perumahan di kawasan ini dapat ditangani.

“Pembinaan kolam tadahan ini menggunakan peruntukan bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) yang diberikan kepada setiap ahli dewan negeri,” katanya ditemui pada majlis pecah tanah projek tersebut.

Mengulas mengenai banjir, Michelle memaklumkan kawasan industri ini dilanda banjir dua kali iaitu pada 19 Disember 2021 dan 7 Mac 2022.

Gambar pelan lokasi pembinaan kolam tadahan hujan bawah Projek Selangor Penyayang bagi menangani isu banjir di Jalan Industri USJ 1/2, Subang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Satu perbincangan telah diadakan dengan pejabat tanah dan Jabatan Pengairan dan Saliran selepas kejadian banjir. Mereka telah berikan dua jalan penyelesaian iaitu pembinaan ban dan kolam tadahan.

“Kita telah bina ban pertengahan tahun lalu tetapi masih memerlukan kolam tadahan bagi menampung paras air di Sungai Klang yang melimpah keluar jika hujan lebat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar  yang mewujudkan dana PSP sekali gus membantu merealisasikan hasrat membina kolam tadahan di kawasan itu.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM28 juta bawah inisiatif PSP sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaiktaraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

 


Pengarang :