Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Perkeso Selangor Ismail Abi Hashim menyantuni Muhamad Daniel Musa, 22, yang kini lumpuh separuh badan di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor pada 21 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ahi Parlimen Kuala Selangor, Perkeso bantu remaja lumpuh separuh badan akibat kemalangan

KUALA SELANGOR, 21 JUN: Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri hari ini menyantuni remaja kurang upaya di Kampung Parit Mahang di sini.

Muhamad Daniel Musa, 22, yang kini lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada Mei 2021 menerima sumbangan faedah Perkeso berjumlah RM56,208.

Bekas operator kilang itu turut menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara bulanan RM792 dan Elaun Layan Sentiasa (ELS) sebanyak RM500.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau bersyukur berikutan Muhamad Daniel dilindungi Perkeso sekali gus membantu meringankan beban keluarganya.

“Saya melihat keupayaan mental Muhamad Daniel tidak terjejas dan masih boleh menjalani proses pemulihan dan belajar latihan untuk kembali bekerja dari rumah.

“Beliau masih muda, saya berharap selepas ini Perkeso dapat terus membantu dan membimbing Muhamad Daniel untuk kembali bekerja dengan majikan yang bersesuaian dengannya,” katanya ketika ditemui.

Hasanah Nawan, 48, menguruskan anaknya, Muhamad Daniel Musa, 22, yang lumpuh separuh badan di kediaman mereka di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor pada 21 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Dalam lawatan berkenaan, Dr Dzulkefly turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan sumbangan wang peribadi kepada keluarga Muhamad Daniel. Hadir sama Pengarah Perkeso Selangor Ismail Abi Hashim.

Sementara itu, ibu Muhamad Daniel, Hasanah Nawan, 48, berkata doktor mengesahkan anaknya mengalami hilang upaya kekal akibat patah tulang belakang dan belakang leher.

Menurutnya, anak ketiga dari enam beradik itu amat meminati bidang animasi dan bercita-cita menjadi pereka grafik dalam bidang tersebut.

“Kejadian kemalangan itu berlaku ketika beliau kerja sambilan selepas tamat peperiksaan SPM. Syukur kerana keputusan SPM Muhamad Daniel juga agak baik.

“Saya berdoa semoga ada keajaiban untuk anak saya ini meneruskan cita-citanya suatu hari nanti,” katanya.


Pengarang :