Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta berzikir bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah ketika Majlis Zikir Darul Ehsan sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Akademi Literasi al-Quran bugarkan Islam berlandas ilmu pengetahuan

SHAH ALAM, 20 JUN: Mewujudkan Akademi Literasi al-Quran di semua daerah antara rancangan Dato’ Menteri Besar dalam membugarkan Islam di Selangor berlandaskan ilmu pengetahuan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha bagi melahirkan umat Islam yang mahir membaca kitab suci dilaksana di Masjid Negeri Shah Alam ketika ini, dengan 100 graduan berjaya dilahirkan.

Beliau menjelaskan akademi itu juga dibangunkan di Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sepang bagi memastikan syiar Islam dimartabat sepenuhnya, bukan dengan semangat semata-mata.

“Kita mahu membugarkan Islam di Selangor dengan ilmu, bukan hanya semangat. Kalau dengan semangat bagus tetapi apabila kita mengkaji dengan ilmu pengetahuan, kita akan jadi lebih bijaksana.

“(Di akademi ini) bukan hanya tahu mengaji tetapi ada qiraat dan tilawah. Mungkin selepas ini boleh ditambah dengan tafsir atau pemahaman mengapa ayat itu diturunkan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau memaklumkan perkara itu dalam sesi Sembang Malam: 5 Tahun Amirudin Shari Mengurus Krisis dan Mentadbir Negeri yang disiarkan secara langsung di TikTok SelangorTV malam tadi.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan sudah bertemu Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir bagi membincangkan pelaksanaan program pengajian kitab turath secara tersusun di Masjid Negeri.

Bakal dilaksana selewat-lewatnya Ogos ini, beliau berkata program itu juga akan diperluas ke peringkat daerah dalam tempoh enam bulan selepas pelancaran.

“Kita akan mengelak pemahaman jumud atau yang menakutkan orang lain. Konteks Islam kita adalah dengan ilmu pengetahuan dan rahmah kepada masyarakat serta penduduk Selangor pelbagai kaum.

“Menerusinya barulah saya rasa kecantikan Islam itu dapat diterjemah dan dapat dipamerkan, bukan hanya dalam bentuk slogan atau kata-kata semangat yang berdegar-degar,” katanya.

Akademi Literasi al-Quran yang ditubuhkan pada 9 Oktober tahun lalu bertujuan melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan memperseni kitab suci.

Dilancarkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, pelajar yang mengikuti pengajian dapat membina kemahiran menulis kaedah Rasm Utmani dan Dabul Quran.


Pengarang :