Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANA

Al-Sultan Abdullah bijaksana tangani krisis politik hampir empat tahun

Oleh Amin Ridzuan Ishak

“Sehingga ke hari ini, Beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk Beta lupakan. Terpahat dalam sejarah negara bahawa Beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

“Hakikatnya, Beta hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah Beta lafaz dan ikrarkan. Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air.

“Pada pengamatan Beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ketujuh tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik berlarutan sehingga kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU 15) juga akan dapat dielakkan.”

Krisis demi krisis politik, selain wabak Covid-19, menzahirkan betapa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seorang yang cukup bijaksana dan berwibawa.

Titah di Parlimen pada 13 Februari lalu jelas menggambarkan Baginda “dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik” susulan pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020.

“Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana menteri Malaysia yang kelapan juga telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021.

“Makanya, Beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik perdana menteri yang baru,” titah Al-Sultan Abdullah.

Kekusutan politik ini bermula daripada tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN), gabungan yang berjaya mencipta sejarah menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dua tahun sebelumnya.

Selepas mesyuarat pada sebelah pagi 23 Februari 2020, pemimpin PPBM bersama sekumpulan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), BN dan PAS bertemu dalam jamuan makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Merasakan tidak lagi mempunyai majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya. Al-Sultan Abdullah menasihatkan negarawan itu menarik balik keputusannya, namun beliau enggan.

Baginda kemudian melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara sebelum memanggil semua ahli parlimen hadir menghadap di Istana Negara selama dua hari bermula 25 Februari untuk mengetahui sokongan masing-masing.

Dalam menyelesaikan kemelut itu, Al-Sultan Abdullah dan Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas pada 28 Februari yang dilaporkan sebahagian langkah merungkai kemelut peralihan kerajaan.

Selepas berpuas hati, Baginda melantik Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020.

Namun kelemahan pentadbiran ahli Parlimen Pagoh, khususnya ketika menangani Covid-19, dan pertelingkahan politik dengan BN menjerumuskan negara ke satu lagi krisis politik.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dataran Parlimen pada 13 Februari 2023. Foto BERNAMA

Amat dukacita

Pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 dengan alasan untuk mengurang jangkitan bagaimanapun gagal. Jangkitan meningkat mendadak mulai April dan Mei ke tahap sangat serius sewaktu suntikan vaksin sangat perlahan.

Walau Baginda memperkenan darurat, Al-Sultan Abdullah masih bertitah pada 24 Februari agar sidang Parlimen boleh diadakan seperti jadual biasa pada Mac tahun itu. Namun, kerajaan Muhyiddin tidak mengendahkan titah Baginda.

Hanya selepas Al-Sultan Abdullah dan Majlis Raja-Raja mengeluarkan gesaan itu dua kali lagi pada 16 dan 29 Jun, barulah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan persidangan Dewan Rakyat selama lima hari mulai 26 Julai.

Namun aturan mesyuarat itu hanya membabitkan taklimat khas beberapa menteri, bukannya membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sidang itu turut mencetuskan kontroversi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuat kuasa 21 Julai. υ

Kenyataannya itu disanggah Baginda yang menzahirkan rasa “amat dukacita” dalam titahnya pada 29 Julai. Al-Sultan Abdullah menitahkan pembatalan Ordinan Darurat dibuat tanpa perkenan Baginda.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan Istana Negara.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.”

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentangan Belanjawan 2023 di Istana Negara. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sejumlah ahli parlimen BN termasuk pengerusinya Datuk Seri Zahid Hamidi pula menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin pada 3 Ogos 2021. Lalu beliau akhirnya berundur juga dalam keadaan terpaksa pada 16 Ogos setelah rayuan kerjasamanya tidak diendah.

Hanya bertahan 17 bulan, lebih pendek daripada pentadbiran 22 bulan kerajaan HARAPAN yang dikhianatinya, Muhyiddin digantikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Ogos.

Kali ini Yang di-Pertuan Agong menitahkan ketua-ketua parti utama hadir menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos bagi mengenal pasti sokongan kepada seorang ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas pada 20 Ogos sebelum Baginda berkenan mengumumkan perdana menteri kesembilan yang mengangkat sumpah pada petang keesokannya.

Namun pentadbirannya hanya sempat bertahan selama 14 bulan. Ismail Sabri memohon pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 untuk memberi laluan kepada PRU15. Tindakan ini diambil setelah desakan dibuat dari dalam parti itu walaupun penggal ke-14 berakhir pertengahan tahun ini.

Parlimen tergantung

Ketika orang ramai mengharapkan pilihan raya umum 19 November mampu menoktahkan kekusutan politik yang berlarutan sejak awal 2020, keputusan di peti undi sebaliknya membuka sekali lagi kemelut tidak menentu.

Al-Sultan Abdullah sendiri menzahirkan peranan yang terpaksa dipikul Baginda susulan suasana resah, panas dan penuh debaran selama lima hari.

“Setelah selesai pilihan raya umum ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung,” titah Baginda ketika pembukaan penggal kedua sidang pertama Parlimen ke-15 awal tahun ini.

“Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang perdana menteri terpaksa digalas oleh Beta. Betapa berat mata yang memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul.”

Krisis pendek ini tercetus apabila tiada gabungan mendapat majoriti mudah sebanyak 112 kerusi parlimen. HARAPAN menang hanya 82 kerusi dan pencabar terdekatnya PN pula 73 kerusi.

Walau sekejap ditarik ke arah HARAPAN dan sekejap lagi condong ke PN, BN (30 kerusi) akhirnya memutuskan bersama HARAPAN setelah akur pada Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar kerajaan perpaduan bersama PN dibentuk.

PN menolak tetapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GPS) (6 kerusi), Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) dan masing-masing satu daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut akur.

Kekusutan tersebut mudah dileraikan susulan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), berkuat kuasa 5 Oktober 2022, yang melarang wakil rakyat mengalih sokongan sesuka hati seperti 2020 tanpa parti yang diwakilinya.

Debaran berakhir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 November sejurus selepas Al-Sultan Abdullah mendapat pandangan Majlis Raja-Raja.

“Beta berharap perdana menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat Beta, sebelum Beta berangkat pulang ke Negeri Pahang Darul Makmur,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.

Bakal menamatkan perkhidmatan lima tahun sebagai ketua negara pada 30 Januari depan, pemerintahan Al-Sultan Abdullah pasti dikenang rakyat selama-lamanya sebagai Yang di-Pertuan Agong yang arif lagi saksama.

Dalam titah diraja yang terakhir itu, Al-Sultan Abdullah menitipkan mutiara kata:

“Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat Beta dan negara yang kita cintai ini.

“Sebenarnya, semenjak negara mencapai kemerdekaan 66 tahun yang lalu, kita telah menerima kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.

“Pada usia 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.”

Tarikh penting kemelut politik, 2020-2022

2020
23 Februari: PPBM ambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) walau dua hari sebelumnya majlis presiden gabungan selesaikan isu peralihan perdana menteri
-Sejumlah pemimpin kanan PPBM, BN dan PAS bersama sekumpulan wakil rakyat KEADILAN hadir jamuan makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya
24 Februari: Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri ketujuh, berakhir pentadbiran selama 22 bulan
– Al-Sultan Abdullah umum beliau sebagai perdana menteri sementara
– sekumpulan wakil rakyat KEADILAN keluar parti, sertai gabungan dengan PPBM
25-26 Februari: Baginda bertemu semua ahli Parlimen untuk mengetahui pandangan calon pengganti Dr Mahathir
28 Februari: Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, dilaporkan bincang kemelut politik
29 Februari: Yang di-Pertuan Agong lantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan

2021
11 Januari: Baginda perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos atau lebih awal
24 Februari: Al-Sultan Abdullah zahirkan pandangan sidang Parlimen semasa darurat (selalunya Mac) boleh diadakan
16 Jun: Bersama Majlis Raja-Raja, Baginda ulang titah Parlimen perlu bersidang bagi bahas Ordinan
Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Tiada keperluan lanjut tempoh darurat selepas 1 Ogos
29 Jun: Yang di-Pertuan Agong sekali lagi zahirkan pandangan Parlimen perlu bersidang “secepat mungkin”
26 Julai: Sidang khas Parlimen diadakan tetapi tiada perbahasan. Seorang menteri maklum Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuat kuasa 21 Julai
29 Julai: Yang di-Pertuan Agong “amat dukacita” Ordinan Darurat dibatal tanpa perkenan Baginda. Sepatutnya dibahas seperti hasrat Baginda
16 Ogos: Muhyiddin letak jawatan selepas sejumlah wakil rakyat BN tarik semula sokongan
20 Ogos: Baginda perkenan lantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ahli parlimen Bera, sebagai perdana menteri kesembilan

2022
10 Oktober: Yang di-Pertuan Agong berkenan Parlimen dibubar bagi adakan pilihan raya umum ke-15
19-20 November: Tiada gabungan parti politik dapat majoriti mudah (112 daripada 222 kerusi) untuk bentuk Kerajaan Persekutuan
20 November: Istana Negara minta ketua parti dan gabungan kemuka nama calon perdana menteri sebelum jam 2 petang keesokannya
21 November: Yang di-Pertuan Agong lanjut tempoh parti politik tubuh kerajaan sehingga 2 petang keesokannya selepas permintaan BN
22 November: Yang di-Pertuan Agong panggil menghadap Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PN Muhyiddin serta Tan Sri Abdul Hadi Awang secara berasingan
– Anwar maklum Baginda beri masa setiap parti bentuk kerajaan perpaduan. Tetapi Muhyiddin menolak
24 November: Selepas mesyuarat khas Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Anwar sebagai perdana menteri ke-10


Pengarang :