engarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amanah kempen PRN cara sihat, yakin menang

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Parti Amanah Negara (Amanah) sedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Selangor meskipun bakal berdepan saingan sengit.

Pengarah Strateginya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu tetap akan berkempen secara sihat dan tidak menyentuh isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

“Pastinya sengit kerana mereka ada ramai pengguna media sosial di TikTok dan sebagainya. Kalau mereka guna orientasi kempen ke arah hal agama dan perkauman, berat rasanya kepada Selangor dan negara.

“Kita mahu berkempen secara sihat, bersaing atas dasar polisi dan pelaksanaan. Jangan merobek keharmonian antara kaum, itu tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Muhamad Daniel Musa, 22, yang hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya di Kampung Parit Mahang di sini, semalam.

Dr Dzulkefly menambah Amanah menjangkakan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor termasuk kerusi penyandang sebelum ini.

Bagaimanapun, ahli parlimen Kuala Selangor itu menjelaskan agihan muktamad pembahagian kerusi hanya akan diumumkan secara rasmi oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Pastinya kita mahu menang semua kerusi. Insyaallah dengan berkat kerja, doa, dan pastinya sokongan daripada seluruh rakyat,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Amanah memenangi enam daripada 10 kerusi DUN yang ditandingi parti itu.


Pengarang :