Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengambil bahagian bersama petugas menyembelih lembu pada program Ziarah Korban Aidiladha di Masjid An Nur Wira Damai pada 29 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Anak muda sertai ziarah korban di Masjid An Nur Wira Damai

GOMBAK, 29 JUN: Sebanyak 16 lembu dan lima kambing disembelih menerusi program Ziarah Korban Aidiladha di Masjid An Nur Wira Damai di sini hari ini.

Nazir masjid, Wan Jabarudin Wan Hassan berkata aktiviti yang dijayakan 150 kariah yang rata-ratanya anak muda turut menyembelih seekor lembu sumbangan Kerajaan Negeri

“Kita mula ibadah korban ini sejak jam 9 pagi tadi seusai solat sunat Hari Raya Aidiladha dan Alhamdulillah penglibatan anak muda juga dilihat ramai dan ini satu tanda yang amat positif.

Nazir Masjid An Nur Wira Damai, Wan Jabarudin Wan Hassan

“Sebenarnya, lebih 17 tahun tradisi melaksanakan ibadah korban ini mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan daripada anak muda di kawasan ini,” katanya.

Tambah beliau daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian sebelum diagihkan kepada asnaf diikuti peserta dan orang awam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut hadir ke masjid berkenaan dan menyembelih seekor lembu sempena program Ziarah Korban Aidiladha.

Beliau tiba di masjid itu menaiki motosikal kira-kira jam 12.50 tengah hari dan disambut lebih 150 penduduk dan ahli kariah masjid.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhammad membantu memasak secara gotong-royong pada program Ziarah Korban Aidiladha di KRT Laksamana Jaya A, Kampung Laksamana pada 29 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua turut meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra bersama pengunjung yang hadir.

Beliau turut bermurah hati membelikan aiskrim kepada lebih 15 kanak-kanak yang berada di sekitar masjid selain berswafoto bersama orang ramai.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat lembu dan 10 kambing.


Pengarang :