Aksi atlet lompat tinggi lelaki negara, Nauraj Singh di Stadium Alexander pada Ogos 2022. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Atlet lompat tinggi bersara selepas 15 berbakti pada negara

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa hari ini mengumumkan persaraannya selepas 15 tahun menabur bakti dalam sukan olahraga, pada usia 31 tahun.

Dalam catatan di akaun instagramnya, Nauraj yang telah menghabiskan masa 15 tahun yang gemilang untuk negara, berkata sudah tiba masanya beliau memberi tumpuan kepada kerjayanya selari dengan tuntutan kerja semasa dan alasan peribadi.

Pemegang rekod kebangsaan acara lompat tinggi lelaki itu mengakui bahawa keputusan tersebut semestinya sesuatu yang sukar dan telah difikirkan dalam tempoh yang lama.

“Keputusan saya berdasarkan alasan peribadi dan perkembangan semasa. Keputusan ini dibuat demi masa depan saya dan setelah difikir secara masak-masak.

“Tambahan pula, saya berasa lega apabila tanggungjawab saya ini bakal digalas oleh dua atlet muda yang berwibawa untuk memastikan penguasaan berterusan Malaysia di Sukan SEA nanti,” katanya.

Atlet kelahiran Johor itu turut mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana menyediakan keperluan dan menyokongnya sepanjang kerjayanya selama 15 tahun.

Nauraj telah memenangi pingat emas berturut-turut dalam tiga Sukan SEA, pada 2013 di Naypyidaw, 2015 di Singapura dan edisi Kuala Lumpur pada 2017. Beliau memegang rekod kebangsaan 2.30 meter (m) yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2017.

Dia juga memegang rekod tertutup kebangsaan 2.27m yang dilakar pada Kejohanan olahraga Hvezdy vs Nehvizdech di Republik Czech pada Januari tahun lepas.

Berikutan persaraan Nauraj, Malaysia kini menggalaskan harapan kepada Mohamad Eizlan Dahalan dan Farrell Glenn Felix Jurus untuk memenangi pingat dalam acara lompat tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :