Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah acara karate-do kumite sempena Karnival Bakat dan Pelapis Siri 1 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil baru-baru ini. Foto laman web MSN Selangor
AGENDASUKANKINI

Atlet negeri sumbang 10 emas, karnival pelapis medan cungkil bakat

SHAH ALAM, 19 JUN: Selangor berjaya meraih 10 emas, 10 perak dan tujuh gangsa dalam Karnival Bakat dan Pelapis Siri 1 2023 di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Jun.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata lima emas disumbang atlet memanah, tiga daripada karate dan masing-masing satu menerusi acara boling padang serta angkat berat.

Menurut Mohamad Nizam Marjugi, karnival itu gelanggang terbaik untuk atlet muda mempamer aksi mereka selepas menjalani latihan dalam program pembangunan sukan peringkat negeri.

“Melalui kejohanan ini, kita dapat menilai keberkesanan program melalui pencapaian atlet. Berdasarkan keputusan sepanjang kejohanan kita dapati Selangor tidak ketandusan atlet,” katanya.

Beliau menjelaskan usaha mengesan bakat baharu penting bagi mempersiap kontinjen mengharungi Sukan Malaysia (SUKMA), selain menjadikan mereka atlet kebangsaan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Mohamad Nizam memaklumkan hanya empat daripada 16 acara yang disenarai dalam program pembangunan sukan negeri dipertandingkan menerusi siri kedua karnival Ogos nanti.

Terdahulu, Kedah mengungguli siri pertama Karnival Bakat selepas mengutip 11 emas, empat perak dan tiga gangsa diikuti Selangor dan Sabah ketiga.


Pengarang :