ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar bercakap kepada SelangorKini selepas Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah 2022 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Dewan Seri Kelana, Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Azmin dicabar pertahan kerusi DUN Bukit Antarabangsa

SHAH ALAM, 6 JUN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dicabar mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang disandang sejak 2008 dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Kalau benar-benar anak jantan, bertandinglah dan mempertahan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandang selama tiga penggal,” kata Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Halimey Abu Bakar.

Mantan ahli Parlimen Gombak itu dilaporkan mungkin bertanding di DUN Morib dalam PRN tahun ini setelah kerusi yang disandangnya sekarang dikatakan tidak lagi selamat untutknya. Beliau juga pernah dispekulasi bertanding di kerusi lamanya Hulu Kelang.

Keputusan saluran undi di DUN Morib dikatakan memihak kepada Perikatan Nasional (PN) tetapi Bukit Antarabangsa terus dipertahankan Pakatan Harapan.

Halimey, yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, berkata pengerusi PN Selangor itu perlu berhenti bermimpi di siang hari dengan melarikan diri untuk bertanding di DUN lain.

“Mungkin beliau sekarang sedang memasang angan-angan dan bermimpi siang malam untuk menjadi Menteri Besar Selangor kembali setelah kehilangan jawatan menteri kanan persekutuan.

“(Beliau) dengan semborononya mengumumkan tarikh pembubaran DUN Selangor pada 19 Jun 2023,” katanya lagi.

Beliau berpendapat Azmin mungkin tertekan selepas tewas kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Gombak dalam pilihan raya umum ke-15, November lalu.

Halimey turut mempersoal sumbangan Azmin sepanjang menjadi menteri ekonomi dalam menyelesaikan masalah inflasi, mata wang dan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Rakyat dan pengundi Selangor akan menghakimi sekali lagi pemimpin yang suka bermimpi ini pada PRN Selangor nanti,” kata wakil rakyat Seri Setia itu.

Dalam laporan sebelum ini, Amirudin dijangka menghadap Sultan Selangor pada minggu ketiga atau keempat bulan ini bagi memohon perkenan tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor.


Pengarang :