ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze beramah mesra dengan pembeli barangan keperluan asas pada program Jelajah Ehsan Rakyat JER) DUN Subang Jaya di USJ 8, Subang Jaya pada 7 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Barangan di jualan murah PKPS jadi hidangan percuma murid B40

Oleh AZIAN AZIZ

SUBANG JAYA, 7 JUN: Sekumpulan guru membeli barangan pada program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi menyedia makanan percuma kepada murid dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Tenaga pengajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Seafields berkata mereka mengumpul duit sesama sendiri dan datang Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Flat Court 6 Good Year Subang Perdana, USJ 8 di sini hari ini untuk membeli sejumlah ayam, daging, telur dan beras.

Fuziana Yahaya, 52, berkata beliau dan dua lagi guru mengambil kesempatan masa rehat untuk membeli barangan tersebut yang akan dimasak oleh pekerja kantin.

Fuziana Yahaya

“Kebetulan hari ini ada ko-kurikulum jadi lauk tersebut akan dihidang untuk makan tengah hari dan diberikan percuma untuk murid yang kurang berkemampuan.

“Program jualan murah ini memang memberi manfaat di saat keadaan ekonomi kita yang tidak menentu dan harga barang semakin naik,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Tambah beliau, rakan sejawatannya juga bercadang untuk membeli lagi barangan asas jika JER dianjur berdekatan sekolah mereka selepas ini.

Teh Choi Kim

Seorang lagi pengunjung, Teh Choi Kim, 58, berkata program tersebut amat membantu pesara seperti dirinya.

“Saya dan suami masih perlu menyara anak yang masih belajar, nasib baik suami yang berusia 62 tahun masih bekerja menjual besi.

“Jualan murah seperti ini amat membantu dan berbaloi,” katanya yang berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif berkenaan.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :