Orang ramai membeli barangan jualan murah pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Batang Kali di hadapan Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, Hulu Selangor pada 18 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Baucar tunai, barangan percuma tarikan jualan murah DUN Batang Kali

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

HULU SELANGOR, 18 JUN: Pemberian baucar tunai dan barangan percuma menjadi tarikan buat penduduk sekitar DUN Batang Kali sepanjang lebih 50 kali program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dilaksanakan di DUN berkenaan.

Wakil Penyelaras DUN Batang Kali Noor Baizura Buhari berkata meskipun barangan ditawarkan dalam JER sudah murah namun pemberian baucar tunai atau barangan jualan percuma bagi 200 pengunjung terawal terus dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban rakyat.


Wakil Penyelaras DUN Batang Kali Noor Baizura Buhari ketika ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Batang Kali di hadapan Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, Hulu Selangor pada 18 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI

“Inisiatif ini telah dilaksanakan sejak kali pertama hingga lebih 50 kali JER diadakan di DUN ini bagi membantu pengunjung membeli barang jualan di sini.

“Misalnya hari ini kita berikan baucar tunai RM10 untuk ditebus ketika membayar barangan manakala semalam ketika program JER di Bukit Sentosa, 200 pengunjung awal menerima beras percuma,” katanya pada program JER DUN Batang Kali di hadapan Sekolah Kebangsaan Antara Gapi di sini hari ini.

Suri rumah Noor Asikin Abu Yazid, 45, yang pertama kali datang membeli dalam program JER berkata, beliau teruja melihat harga barangan ditawarkan murah malah menjadi antara 200 pengunjung awal yang menerima baucar berkenaan.

“Syukur duit belanja dapur dapat dijimatkan hari ini. Saya sudah lama mahu pergi JER tapi masih tidak berkesempatan sehinggalah hari ini baru dapat jejakkan kaki di JER.


Suri rumah Noor Asikin Abu Yazid ketika ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Batang Kali di hadapan Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, Hulu Selangor pada 18 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI

“Saya berharap JER lebih kerap dilaksanakan di DUN ini supaya ramai dapat berbelanja secara berhemah dan secara tidak langsung dapatlah kami menyimpan sedikit wang untuk kegunaan kecemasan,” katanya.

Bagi pesara Dely Adibah Abd Rahman, 60, program JER diharap dapat dilanjutkan kerana terbukti memberi manfaat kepada penduduk sekitar Hulu Selangor.

“Selain harganya yang murah dari pasaran saya memuji pelaksanaan jualan yang sistematik selain petugas sangat membantu khususnya kepada warga emas.

“Bagi saya, JER juga seperti serampang dua mata yang mana ia bukan saja membantu ekonomi pengusaha dan pengeluar malah membantu mengurangkan beban penduduk Selangor,” katanya.


Pesara Dely Adibah Abd Rahman ketika ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Batang Kali di hadapan Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, Hulu Selangor pada 18 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI

 

JER anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu menawarkan 500 ekor ayam standard berharga RM10 seekor serta masing-masing 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :