Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
AMPANG, 25 JUN: Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) yang diberi nafas baru disambut baik pengunjung malah mereka yakin ia akan menjadi lokasi tumpuan berikutan terletak di pusat bandar.
Pengunjung, Saleha Ismail, 48, berkata wajah baru bazar larut malam tersebut yang nampak lebih segar dan meriah mampu menarik lebih ramai pengunjung berbanding sebelum ini.
“Saya selalu datang ke sini kerana ada banyak gerai makanan tular cuma sebelum ini lorong belakang ini agak gelap dan kurang menarik.
“Jadi apabila tempat ini dinaik taraf ada juga tempat nak bawa keluarga pada hujung minggu di Ampang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Ulam di sini, Jumaat lalu.
Lorong Ampang Mampan sepanjang 300 meter itu menempatkan lebih 60 peniaga dan ia dibuka kepada orang ramai dari Jumaat hingga Ahad.
Bagi Aimi Ayuni Ali, 38, meskipun kali pertama berkunjung ke situ beliau teruja melihat pelbagai barangan dijual pada harga murah.
“Tempat yang baru untuk bawa keluarga dan anak kecil malah saya sukakan konsep mural di sepanjang dinding bangunan di lorong belakang ini.
“Harapan saya agar kita sebagai pengunjung sama-sama menjaga kebersihan dan keindahan tempat ini, buang sampah di tempat disediakan dan jangan lakukan vandalisme,” katanya.
Sementara itu peniaga barangan bundle Sadrudin Amir Zainuddin memuji usaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menaik taraf kawasan itu bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung ke situ.
“Ulam juga diharap dapat menjadi medan anak muda mengikuti aktiviti hiburan sihat yang akan diwujudkan di sini sekali gus mengelak mereka terjebak dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya.
Peniaga minuman Ari Azhari berkata selain dapat meningkatkan ekonomi peniaga, Ulam disifatkan bertepatan memandangkan kawasan Ampang terletak di tengah kota dan menjadi lokasi tumpuan pelancong.
“Dengan konsep dan keunikan ditawarkan saya rasa tempat ini boleh pergi jauh, malah mungkin menjadi lokasi ikonik di Ampang seperti Jonker Walk di Melaka.
“Cuma peniaga di sini berharap promosi lebih agresif dilakukan MPAJ dan penganjur supaya tempat ini lebih dikenali dan menjadi tumpuan ramai,” katanya.