Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat haiwan korban serta melakukan gimik perasmian pada program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 3 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bekal haiwan korban tidak ikut spesifikasi, 12 pembekal disenarai hitam

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri menyenarai hitam 12 pembekal haiwan korban selepas dikesan penyediaan ternakan tidak mengikut spesifikasi pada sambutan Aidiladha tahun lalu.

EXCO pertanian berkata pihaknya menerima banyak aduan antaranya pembekal tidak menyediakan ternakan seperti yang ditetapkan iaitu seekor lembu seberat 260 kilogram (kg) manakala kambing (35kg).

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim

“Justeru tahun ini proses pemilihan dibuat dengan sangat teliti oleh jawatankuasa induk program sumbangan korban.

“Kita audit kandang dan laksana sistem penandaan (tagging) pada setiap haiwan korban yang ditempah untuk atasi masalah yang timbul sebelum ini,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian pada program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2023 di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya berharap pembekal yang terpilih akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik.

“Kita kena ingat bahawa kita laksanakan ibadah korban. Sama-sama bertanggungjawab bukan sahaja mereka yang laksanakan ibadah korban tetapi juga pembekal,” katanya.

Terdahulu, Izham mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan ibadah korban sempena sambutan Raya Haji tahun ini.

Sebanyak 300 masjid dan surau terpilih menerima 700 lembu dan 1,000 kambing dengan nilai keseluruhan mencecah RM6 juta.


Pengarang :