Pengunjung membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Kuang di medan selera Tasik Biru Kundang pada 18 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Beras, telur, daging jadi rebutan, harap jualan murah dikekalkan

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 18 JUN: Tiga barangan asas iaitu beras, telur dan daging menjadi rebutan pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang hari ini.

Tidak sampai satu jam, masing-masing 300 papan telur, pek daging dan pek beras habis dijual dalam program yang diadakan di medan selera Tasik Biru Kundang di sini.

Pengunjung memilih barangan keperluan pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Kuang di medan selera Tasik Biru Kundang pada 18 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata selain tiga barangan asas itu pihaknya turut membawa 500 ekor ayam dan minyak masak lima kilogram.

“Ayam masih berbaki 200 ekor pada jam 11 pagi kerana kita hadkan seekor bagi setiap orang.

“Pengunjung yang datang 11.30 pagi hanya dapat beli minyak masak lima kilogram yang berbaki 80 botol daripada 144 botol yang kita bawa,” kata Norlinda Abu Kassim.


Wakil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKPS) Norlinda Abu Kassim ketika ditemui pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Kuang di medan selera Tasik Biru Kundang pada 18 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Program yang bermula 10 pagi itu dihadiri lebih 400 pengunjung dengan sebahagiannya sudah memenuhi khemah jualan sejak 7.30 pagi.

Sementara itu suri rumah Norizar Abdul Razak, 45, yang pertama kali mengunjungi jualan murah berkata usaha itu dapat meringankan beban selain memudahkan orang ramai membuat persiapan hari raya haji.

“Rasa bertuah jadi rakyat Selangor kerana dapat beli barangan keperluan asas pada harga murah atas keprihatinan pentadbiran negeri anjur program seumpama ini.

“Harap Kerajaan Negeri kekalkan program ini supaya rakyat dapat beli barangan asas murah secara berterusan,” katanya.

Pengunjung Norizar Abdul Razak ditemui pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Kuang di medan selera Tasik Biru Kundang pada 18 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

 

Pesara, Adenan Isa, 65, berkata inisiatif Kerajaan Negeri itu wajar dipuji kerana menyediakan pelbagai manfaat untuk rakyat.

“Saya harap jualan ayam dapat ditambah memandangkan ia antara hidangan penting terutama ketika musim perayaan,” katanya.


Pengunjung Adenan Isa ditemui pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Kuang di medan selera Tasik Biru Kundang pada 18 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Program yang dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.


Pengarang :