Suasana sekitar Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Demi ubah masa depan, juruteknik cari peluang di karnival kerjaya

SHAH ALAM, 19 JUN: Impian juruteknik telefon bimbit mahu mengubah masa depan lebih baik mendorong anak muda itu menyertai Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023.

Zulhelmi Othman, 26, berkata beliau yang pertama kali hadir ke karnival berkenaan teruja biarpun terpaksa datang seorang diri dari Bera, Pahang.

Zulhelmi Othman

“Saya bekerja sebagai juruteknik di kedai telefon bimbit selepas diberhentikan kerja akibat Covid-19. Namun, apabila keadaan kian pulih sekarang saya berhasrat hendak bekerja di sini dan mencari pengalaman baharu.

“Semoga usaha saya berhasil dan dipanggil untuk ditemu duga dalam masa terdekat,” katanya ditemui di karnival di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini semalam.

Sementara itu, graduan undang-undang, R Ruphinee, 25, berkata beliau menghantar resume di beberapa syarikat yang memerlukan penasihat dalam jurusan tersebut.

R Ruphinee

“Ada beberapa syarikat memerlukan penasihat atau khidmat peguam tetapi tidak banyak. Namun, saya tetap menghantar resume kepada mereka dan beberapa syarikat lain dalam bidang sumber manusia serta pentadbiran.

“Bagaimanapun, saya berharap syarikat yang memerlukan perkhidmatan guaman menghubungi kerana mahu mempraktikkan apa dipelajari,” katanya.

Salah seorang pempamer, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) berkata sebanyak 60 jawatan kosong ditawarkan kepada pengunjung yang hadir ke karnival kerjaya itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Worldwide Holding Datin Norazlina Zakaria

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Norazlina Zakaria berkata tawaran kerja kosong itu dalam bidang hartanah, persekitaran, perubatan dan tenaga.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan untuk dua hari penganjuran, kita menerima lebih 1,000 resume yang berminat mencari pekerjaan.

“Selepas ini, kita akan teliti setiap satu resume dan memanggil jika menepati syarat,” katanya.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 pada kali ini melibatkan lebih 100 syarikat antaranya sektor F&B (makanan dan minuman), perkhidmatan, automotif, pendidikan serta perhotelan dan pelancongan.


Pengarang :