AGENDAJENAYAH

Diperdaya tawaran syarikat bina rumah di Facebook, ramai mangsa rugi jutaan ringgit

MELAKA, 23 JUN: Hasrat seorang pesara swasta untuk tinggal di rumah baharu berkecai apabila dipedaya oleh sebuah syarikat membuat pelan dan membina rumah.

Lebih malang bukan sahaja rumah tidak dibina, mangsa yang mahu dikenali Che Din, 50, turut mengalami kerugian bernilai RM245,000.

Katanya beliau terpedaya selepas melihat tawaran membina rumah di tanah sendiri yang dipaparkan di laman Facebook milik syarikat yang dimiliki oleh pasangan suami isteri pada sekitar Januari 2022.

“Dari situ saya mula hubungi syarikat tersebut yang berada di Batu Berendam dan berdasarkan paparan di Facebook, syarikat itu mempunyai pelanggan dari Johor, Selangor malah Sabah.

“Saya berhubung dengan pegawai pemasaran syarikat itu dan akhirnya bersetuju menggunakan khidmat mereka bagi membuat pelan dan membina rumah,” katanya pada sidang media khas di sini.

Katanya, segalanya berjalan lancar termasuklah memaparkan rumah contoh yang kononnya disiapkan oleh syarikat itu dan progres pembinaan rumah bagi projek lain di laman Facebook mereka, menandatangani kontrak serta lawatan ke tapak rumah beliau di Muar, Johor.

Bagaimanapun pegawai pemasaran dan pasangan suami isteri yang kononnya ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan syarikat itu mula gagal dihubungi selepas beliau membayar RM15,000 bagi pelan rumah dan RM230,000 sebagai progres pembinaan rumah peringkat pertama.

“Malah sehingga kini, salinan asal kontrak membina rumah juga tidak diserahkan kepada saya. Syarikatnya di Batu Berendam dan Facebooknya juga sudah ditutup namun dipercayai masih bergiat aktif mencari mangsa,” katanya.

Bagi seorang lagi mangsa, Ahmad Fuad, 38, beliau diperdaya RM15,000 selepas menggunakan khidmat syarikat itu untuk membuat pelan rumahnya malah dijanjikan pelan rumah itu akan siap dalam tempoh tiga bulan.

“Namun selepas membuat pembayaran, pegawai pemasaran syarikat itu mula membuat pelbagai alasan dan akhirnya tidak dapat dihubungi,” katanya yang merupakan pengusaha restoran di Bukit Beruang di sini.

Ahmad Fuad juga menjelaskan setakat ini terdapat enam lagi individu yang turut menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM1.85 juta.

“Saya berjaya mengesan enam mangsa lain ini secara kebetulan yang masing-masing mengalami kerugian antara RM190,000 hingga RM300,000 dan kami percaya ramai lagi yang menjadi mangsa sindiket ini dan beberapa laporan polis telah dibuat.

“Kami berharap siasatan segera dilakukan bagi menggelakkan lebih ramai orang yang ingin membuat rumah menjadi mangsa mereka,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :