AGENDAJENAYAH

Dua maut terhidu asap, kilang percetakan terbakar

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Dua daripada enam warga Bangladesh maut akibat terhidu asap dalam kebakaran di sebuah kilang percetakan di Jalan P10/18, Taman Industri Selaman, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Liton, 34, dan Murade, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kedua-dua mangsa terhidu asap disebabkan kawasan kilang berkenaan tiada ruang pengudaraan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 4.14 pagi daripada orang awam dan mengarahkan 36 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, BBP Kajang, BBP Semenyih dan BBP Serdang ke lokasi.

“Setibanya di lokasi bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan dan pemadaman dilakukan secara terus ke dalam bangunan.

“Kebakaran melibatkan kertas kitar semula yang terdapat di dalam bangunan dan api berjaya dikawal dan dipadam 4.50 pagi tadi. Kerja overhaul masih dilakukan di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Md Razali berkata kesemua mangsa terlibat adalah lelaki yang merupakan pekerja di kilang pencetakan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :