AGENDAJENAYAH

Dua wanita antara empat ditahan kes samun bersenjata

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Dua wanita antara empat ditahan kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan pisau serta melarikan kenderaan dengan nilai kerugian dianggar RM60,000 di sebuah rumah di Subang Jaya.

Semua suspek warga tempatan berumur antara 27 hingga 32 tahun itu ditahan di Senawang, Negeri Sembilan dan Putra Perdana, Puchong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam kejadian 7 malam 4 Jun lalu, mangsa menyatakan rumahnya dimasuki dua lelaki.

Beliau berkata dalam kejadian itu, suspek memakai pelitup muka turut mengikat mangsa yang tinggal bersama isteri, ibu dan dua anak.

“Suspek menggunakan pisau menyamun mangsa dan keluarga serta melarikan kereta jenis Honda City yang diparkir di hadapan rumah bersama sejumlah barangan berharga milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Wan Azlan berkata modus operandi suspek ialah memakai pelitup muka dengan mengikat mangsa dan ahli keluarganya menggunakan kabel telefon serta tali pinggang dan kemudian melarikan sejumlah barangan peribadi, barangan berharga serta kenderaan milik mangsa.

Beliau berkata polis merampas beberapa barangan peribadi yang digunakan untuk kegiatan samun iaitu dua bilah pisau, pakaian milik suspek, satu unit pemutar skru serta sepasang sarung tangan.

Selain itu, barangan milik mangsa yang dijumpai semula ialah barangan peribadi, barangan kemas, telefon bimbit, serangkai kunci rumah dan juga sebuah kereta mangsa.

Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Honda EK yang dilaporkan hilang di kawasan Jinjang, di sini.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dengan kes ini dan mereka direman lima hari bermula hari ini (semalam). Selain itu, polis percaya suspek terlibat dengan beberapa kes di kawasan Subang Jaya dan kawasan lain,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian samun berkumpulan supaya tampil memberikan kerjasama menerusi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau pegawai penyiasat Insp G Dinesh 011-33094457.

– BERNAMA


Pengarang :