Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei (kiri) meninjau projek menaik taraf dan membaik pulih SMK Taman Sea bawah Projek Selangor Penyayang 2023 pada 21 Jun 2023. Foto Facebook Lim Yi Wei
ADNSELANGOR

DUN Kampung Tunku belanja RM62,300 baiki kemudahan daif di sekolah

SHAH ALAM, 22 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku membelanjakan RM62,300 bagi menaik taraf beberapa infrastruktur daif di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei berkata dana itu sebahagian inisiatif Projek Selangor Penyayang (PSP) tahun ini, antaranya untuk membaiki paip dan saliran bumbung serta pengalisan air (waterproofing).

“Infrastruktur lain yang dinaik taraf ialah tandas, menggantikan bumbung asbestos dan memasang pam air tugas berat serta tangki bagi menyalurkan bekalan air ke tandas dan makmal sains,” katanya.

Berikutan pembaikan itu, beliau berharap pelajar dan guru dapat menunjukkan komitmen dan bersemangat meneruskan pembelajaran selepas sekolah tersebut diberi nafas baharu.

“Saya berharap warga sekolah menggunapakai peralatan yang dinaik taraf itu sebaiknya dan elak daripada berlaku vandalisme,” ujarnya lagi.

Belanjawan 2023 memperuntuk RM28 juta untuk melaksankan PSP bagi mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil bagi manfaat rakyat Selangor.


Pengarang :