SUBANG JAYA, 14 JUN: Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyalurkan RM40,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di dua sekolah.
Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata RM20,000 disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4 Bandar Kinrara bagi menaik taraf laluan pejalan kaki.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/pix4-500x350.jpg.webp)
“Manakala SMK Bandar Puchong Jaya (A) menerima RM20,000 bagi menaik taraf longkang. Diharap dengan peruntukan ini boleh membantu kedua-dua sekolah menyelenggara kemudahan mereka,”katanya.
Terdahulu Sze Han menghadiri sesi jelajah Kementerian Pendidikan (KPM) yang diketuai Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying ke DUN Kinrara di sini, hari ini.
Dalam lawatan berkenaan Hui Ying mengumumkan peruntukan RM600,000 bagi lima sekolah selain pembinaan dua sekolah baharu di DUN berkenaan.
Lima sekolah yang dibantu termasuklah SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, SMK Bandar Puchong Jaya (A), Sekolah Kebangsaan Puchong, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kinrara dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kheng Chee.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/pix6-1-500x278.jpg.webp)
“DUN Kinrara mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Sebab itu ada permintaan yang besar untuk sekolah baharu terutama di kawasan Puncak Jalil dan Bandar Kinrara ekoran banyak pembangunan di kawasan ini.
“Saya mendapat banyak permintaan daripada ibu bapa di kawasan ini. Jadi kami sangat gembira dengan perkembangan mengenai pembinaan sekolah baharu di DUN Kinrara,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/pix5-3-500x354.jpg.webp)
Sementara itu, Pengetua SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara Fadzlon Faisal berterima kasih atas sumbangan dari pihak DUN dan KPM kerana ia amat membantu terutama bagi menaik taraf padang.
“Pencapaian bidang sukan dan akademik kami membanggakan. Kami mempunyai atlet yang bertanding dan menang kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.