Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama petugas DUN membuat persediaan jualan Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Kampung Bahtera, Batu Caves pada 18 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DUN Kuang, Sementa antara sembilan lokasi jualan murah esok

Oleh Nas Norziela Nasbah

SHAH ALAM, 13 JUN: Program jualan murah barangan asas seperti ayam, ikan, telur dan beras diteruskan di sembilan lokasi esok, bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di Pusat Penerangan Agrotourism, Homestay Sungai Sireh (DUN Sabak), Kampung Ampangan (DUN Sungai Burong) dan perkarangan Masjid Kampung Pendamar (DUN Pelabuhan Klang).

Lokasi lain Dewan Serbaguna MBSJ Kampung Sri Aman (DUN Seri Serdang), Dewan Merdeka Kuang (DUN Kuang), Arena Square Bukit Kapar (DUN Sementa), Kampung Selayang Baru (DUN Taman Templer), Jalan Dato Dagang 39B, Tapak Pasar Malam Sentosa (DUN Sentosa) dan Taman Sri Buloh, Paya Jaras (DUN Paya Jaras).

Jualan bertujuan meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lalu dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Pada 31 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.


Pengarang :