ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar menyerahkan cek cura bernilai RM50,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar, Mansor Mokhtar pada 19 Jun 2023. Foto Facebook Mohd Fakhrulrazi Mokhtar
ADNSELANGOR

DUN Meru hulur sumbangan RM50,000 ganti meja, perabot uzur bilik guru

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SHAH ALAM, 19 JUN : Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menghulur sumbangan RM50,000 bagi menggantikan meja dan perabot uzur bilik guru Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang hari ini.

Wakil rakyatnya Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata sumbangan tersebut sebahagian daripada peruntukan di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) 2023.

“Saya difahamkan sebelum ini meja dan perabot di bilik guru sekolah ini telah uzur, jadi kita gunakan peruntukan yang ada untuk gantikan kelengkapan itu dengan yang baharu.

“Walaupun fokus peruntukan ini sebenarnya lebih kepada pembaikan kemudahan seperti penurapan jalan, longkang atau padang, namun bagi saya saya keselesaan guru dan pelajar juga penting yang mana banyak orang terlepas pandang,” katanya kepada Selangorkini.

ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar meninjau keadaan bilik guru Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang ada 19 Jun 2023. Foto Facebook Mohd Fakhrulrazi Mokhtar

Tambahnya, sumbangan turut diberikan kepada beberapa sekolah di bawah DUN Meru antaranya Sekolah Kebangsaan Meru dan Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai.

“Serahan sumbangan ini juga tidak hanya melalui permohonan pihak sekolah itu sendiri, bahkan kami di DUN Meru sendiri turun padang melihat keadaan sekolah yang memerlukan.

“Sama ada bantuan ini akan diteruskan atau sebaliknya, ia bergantung kepada peruntukan yang diturunkan yang mana saya pasti Kerajaan Negeri tidak akan pernah mengabaikan keperluan sekolah-sekolah ini,” katanya.


Pengarang :