ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pada Sidang Media Projek Selangor Penyayang DUN Subang Jaya di Padang Bola USJ 2/4, Subang Jaya pada 17 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Subang Jaya belanja RM91,900 naik taraf padang USJ 2/4

Oleh AMIRUL FAZLI

SUBANG JAYA, 17 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya membelanjakan RM91,900 dibelanja untuk kerja naik taraf padang bola USJ 2/4 dibawah Projek Selangor Penyayang (PSP) .

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata padang bola berkenaan direka bentuk sesuai untuk sukan ragbi dan lempar cakera (frisbee) selain bola sepak.

“Kita akan bina padang yang lengkap dengan garisan dan setiap daripada itu akan mewakili sukan masing-masing.

“Tiga sukan tersebut adalah bola sepak, ragbi dan frisbee. Padang ini akan ada orang jaga bagi memudahkan urusan penggunaan padang,”katanya.

Terdahulu Mei Sze ditemani Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya Ar Kamaruk Hisham Yeop Hashim turun ke lokasi bagi meninjau kerja naik taraf padang berkenaan di sini, hari ini.

Projek yang bermula 29 Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Julai itu juga akan dilengkapi dengan sistem pengaliran air di sekeliling padang bagi memastikan air tidak bertakung jika hujan.

Sementara itu, Ar Kamaruk berkata projek seperti ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap prasarana penduduk dan akan melakukan yang terbaik bagi kemudahan orang ramai.

“Bagi menjaga kualiti rumput, kita akan menutup sementara padang ini ketika waktu hujan agar keadaan padang sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.


Pengarang :